Thursday 15 May 2014

HARGA GURU AKHIR ZAMAN









Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi.
Itulah tema Hari Guru 2014 yang disambut meriah di seluruh tanah air hari ini. Mungkin hari ini para guru bergembira dengan majlis sambutan di sekolah masing-masing. Namun gelak tawa guru pada hari ini tidak mampu menyelindung suatu hakikat yang pahit. Hakikat bahawa menjadi guru dewasa ini bukanlah semudah yang disangka. Tugas menyampaikan ilmu sebagai seorang guru di samping asakan global, perlu menjadikan guru lebih inovatif. Inovatif dalam melahirkan modal insan berminda kelas pertama dan berpesonaliti unggul.

 


Bebanan tugas terkadang menyebabkan guru lari fokusnya dan tidak mampu menyerlah semasa menyampaikan ilmu dalam PDP. Malah lebih menakutkan jika bebanan guru menyebabkan generasi pendidik ini hilang fokus dalam mewujudkan integrasi ilmu umum dengan ilmu ukhrawi. Hasilnya proses pembelajaran di sekolah hanya akan melahirkan individu berfikrah duniawi semata dan berjiwa kosong akan tauhid, sahsiah dan akhlak.







Berapa ramai dari golongan guru akhir zaman ini yang telah menitiskan air mata akibat melihat kerosakan sahsiah anak didik mereka. Guru tidak sepatutnya disalahkan seratus-peratus dalam ketidak upayaan sistem pendidikan kita bagi melahirkan modal insan yang unggul. Kerana sejak berdekad-dekad yang lalu, hampir semua Negara islam mengamalkan system pendidikan yang berbentuk dualism. Dan inilah kesan penjajahan yang tidak kita sedari kerana ia lebih berbentuk serangan ideologi.



Di mana “wujud dua system pendidikan yang berbeza iaitu system pendidikan tradisional Islam dan system pendidikan modan. Sistem pendidikan tradisional lebih menumpukan perhatiannya terhadap ilmu-ilmu keagamaan semata-mata dengan mengabaikan ilmu-ilmu moden. Manakala system pendidikan moden hanya menitik beratkan ilmu-ilmu moden dengan mengabaikan ilmu-ilmu keagamaan” (Abdul Halim Ramli, dalam rencana tulisannya, Memecah Dualisme Hamoniskan Ilmu: Reformasi Sistem Pendidikan Menurut Perspektif Syeikh Mohamad Abduh dan Sayyid Ahmad Khan)



Secara ringkasnya, dualism dalam pendidikan ialah pengasingan di antara ilmu agama dengan ilmu selain agama. Ini adalah akibat daripada datangnya kuasa penjajah. Penjajahan Belanda di Indonesia, British di Malaysia dan Brunei. Di Indonesia misalnya, sehingga kini masih mengamalkan dualism dalam sistem pendidikan. Akibatnya pendidikan diurus dan ditadbir oleh dua kementerian. Kementerian Pendidikan mengurus dan mentadbir sekolah umum daripada tadika hingga peringkat universiti. Manakala Kementerian Agama pula mengelola dan mengurus sekolah agama seperti madrasah dan pesantren daripada tadika hingga peringkat universiti. Malah peruntukan dan perbelanjaan Kementerian Pendidikan jauh lebih besar jika dibanding dengan sekolah agama. Semestinya ini akan memberi impak yang besar kepada integrasi ilmu umum dan agama dalam masyarakat.



Persoalan besar menghantui kita kini adalah bolehkah para pelajar hari ini terbentuk akhlaknya dengan nilai-nilai yang baik dan murni seandainya pendidikan agama tidak diterapkan secara konsisten? Malah bebanan guru di sekolah juga terkadang menyebabkan generasi pendidik ini hilang fokus dalam mewujudkan integrasi ilmu umum dengan ilmu ukhrawi  Bayangkan impak yang besar kepada generasi pelapis tamadun manusia di Negara kita ini.



Sedangkan sejarah telah membuktikan bahawa ketamadunan islam telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuwan islam di zaman Bani Abbasiyah dan selepasnya, al Khindi, Ibnu Rusyd, al Burini, Al Khawarizmi, Ibnu Sina dan ramai lagi. Mereka  tidak hanya menumpukan pendidikan umum semata bahkan melaksanakan integrasi antara pendidikan agama dengan pendidikan umum.


Tidak dinafikan kemajuan sesebuah Negara banyak dibangunkan oleh unsur-unsur pendidikan umum samada dari segi ekonomi, sosial, budaya, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Namun, secara holistiknya kesan negatif akan lebih menjuarai apabila system dualism ini diamalkan dalam system pendidikan kita. 

Kerana golongan ilmuwan yang lahir dari dua system yang terpisah ini akan menyebabkan persaingan dalam keadaan bukan membina bahkan mungkin menjatuhkan sesama sendiri walaupun beragama islam. Inilah yang akan menyebabkan konflik pemikiran yang tidak selari malah bertentangan dengan ajaran Islam.



Para guru akhir zaman perlu sedar bahawa proses islamisasi perlu dalam asakan global kini. Sistem pendidikan dualisme merupakan satu bentuk penjajahan bagi melemahkan tamadun islam itu sendiri dan perlulah diganti dengan system pendidikan bersepadu. Di mana “seluruh proses pendidikan dan perkembangan ilmu tidak terpisah daripada tauhid, sama ada rohani, jasmani dan akli. Coraknya adalah bersepadu lantaran itu segala ilmu bersifat kudus dan sekaligus penglibatannya adalah ibadat bagi  manusia.” (Dr Abdul Halim Muhammad).


Jika proses penyampaian ilmu itu menolak unsur Rabbani. Hasilnya ilmu dan pendidikan menjadi sekular dan akan melahirkan para pelajar yang melihat faktor duniawi mengatasi segala-galanya. Akhirnya, rosaklah tamadun  manusia tersebut kerana kosong jiwanya dari tauhid, sahsiah dan akhlak.




Setinggi-tinggi penghargaan buat sekalian pendidik yang tidak pernah jemu dan sentiasa bersemangat mencurah bakti membangun tamadun bangsa ini. Moga gelaran ‘guru’ itu terus membuat kalian berasa izzah dan bangga setiap kali menitip di bibir anak didik, ibu bapa, masyarakat dan generasi akan datang. Kerana kehadiran kalian amat bermakna dalam membentuk gagasan berilmu harapan agama, bangsa dan negara. Mahalnya harga seorang guru akhir zaman. Syurga tertinggilah balasan setimpal buat kalian guru pendidik umat harapan.




                     



SELAMAT HARI GURU.
Guru Harapan Ummah.
Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi




No comments:

Post a Comment