Monday 17 March 2014

KONSERT MAUT: Ibnu Sina sudah lama menegur





Kita sebagai mahasiswa yang sentiasa memerhatikan arus Negara tercinta ini. Kita sebagai golongan intelek harapan kepimpinan masa hadapan. Kita sebagai bakal pengisi proksi-proksi pembuat dasar  Negara. Kita sebagai bakal golongan profesional yang akan membangun dan menaikkan tamadun manusia bercorakkan islam di bumi Malaysia.Kita berasa amat jelek dan malu.

Belum sempat rasanya hilang merah di muka dek kerana tragedi bomoh di KLIA yang tersebar luas di media dunia. Semalam Malaysia dikejutkan pula dengan kematian seramai 6 orang belia di konsert tertutup dekat Stadium Bukit Jalil akibat berlebihan dos dadah dan alkohol. Belum dibuka cerita mengenai perhimpunan pro-LGBT di Pulau Pinang yang akhirnya dibatalkan atas desakan masyarakat umum dan beberapa NGO islam. Juga belum dibuka cerita mengenai tuntutan COMANGO di Geneva bagi penghapusan akta jenayah liwat, akta murtad dan pelbagai lagi tuntutan yang mampu mencairkan pegangan umat islam.


Ujian yang menimpa-nimpa ini akhirnya menarik kita ke satu sudut. Kerosakan yang mahadahsyat ini memerlukan solusi. Umat yang terus merintih meraung mencari perlindungan ini perlu dibantu. Dan hanya di tangan orang-orang beriman, dunia ini akan menghentikan tangisnya. Berhenti menuding jari. Bersama mencari solusi.


Ibnu Sina, tokoh keilmuwan islam kita ini telah lama menegur. Bagi melahirkan masyarakat yang berkualiti perlu didahulukan dengan pembangunan modal insan.
Terdapat 4 strategi dasar membangun modal insan. Pertama, mentadbir diri adalah yang paling patut diutamakan dalam rangka membangun manusia dan masyarakat.
Kerana seseorang yang baik pentadbiran dirinya akan lebih berupaya mentadbir yang lain dengan baik.


“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu: penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak mendurhakai Allah SWT terhadap apa yang diperintahkan-NYA lkepada mereka dan selalu megerjakan apa yang diperintahkan”(al tahrim:6)


Ditujukan kepada diri dan kemudiannya kepada keluarga. Ini bermakna setiap individu perlu memulakan dengan dirinya terlebih dahulu sebelum berusaha mengubah orang lain.



Dasar kedua membangun modal insan adalah dengan mengenal pasti hakikat pengislahan dalam diri manusia. Manusia perlu sedar bahawa dalam dirinya ada dua faktor penting dan berpengaruh. Akal dan nafsu.  Setelah mengetahui hakikat ini, maka sebagai insan yang ingin mengislah dirinya perlulah sentiasa memastikan bahawa akalnya yang memimpin dan diberi tanggungjawab menerajui tugas pengislahan ini. Jangan sekali-kali dibiarkan nafsu mengatasi akal.Imam al Ghazali dalam karyanya, Mishkat al-Anwar, mengatakan bahawa akal itu adalah satu aspek dari cahaya Allah SWT pada manusia.



Dasar seterusnya dalam membina modal insan, menyelidik dan mengenalpasti kesemua fasad dalam diri manusia atau orang yang ingin melakukan pengislahan.
Ibnu Sina menekankan kuantiti “semua” di sini kerana menurut beliau sebarang unsur fasad yang tertinggal akan kembali merebak dan membawa masalah di kemudian hari. Diumpamakan luka yang belum sembuh sepenuhnya, jika dibiarkan tanpa rawatan yang sepatutnya boleh kembali merebak dan serius.

Di sini saya ingin menyatakan penghargaan buat NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang lantang menyuarakan kefasadan tuntutan-tuntutan COMANGO terhadap Malaysia. Walaupun disaman kerana didakwa menyebarkan hasutan kepada umum, tetapi kita amat menyanjungi keberanian mereka dalam menyuarakan nahi mungkar tatkala islam benar-benar dirobek maruahnya dan banyak pihak berautoriti yang hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh. Saman tidak akan memiskinkan pejuang Allah, dan penjara tidak akan mampu menghalang mereka bertemu syahid.



Seterusnya, dasar terakhir bagi membina modal insan adalah dengan memilih kawan yang baik dan ikhlas yang akan membantu menilai diri kita dengan lebih objektif dan membina. Sebagaimana hadith Nabi SAW yang menyatakan bahawa sahabat itu ibarat si penjual minyak wangi juga si tukang besi. Oleh itu, amat jelas bahawa siapa teman rapat kita, ia akan memberi impak yang besar kepada siapa identiti sebenar kita.



Kesungguhan dan keberterusan projek pembinaan manusia amat dititikberatkan kerana usaha membina manusia adalah usaha berterusan dan tiada noktahnya. Hal ini kerana, dua unsur yang sentiasa bertentangan iaitu akal dan nafsu yang sering berusaha menguasai salah satu dengan yang lain.Penguasaan akal ke atas nafsu membuahkan pembinaan insan yang berkualiti manakala sebaliknya penguasaan nafsu ke atas akal akan hanya membawa keruntuhan dan kehancuran kepada sesebuah tamadun manusia. Kesemua fakta-fakta ini dijelaskan oleh Ibnu Sina dalam perbincangan tentang siyasah atau pengurusan diri manusia dalam Kitab al-Siyasah.



Kita sebagai mahasiswa islam yang bakal mengisi proksi-proksi penting Negara dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun lagi, amat berharap agar pembinaan modal insan diutamakan oleh setiap lapisan masyarakat juga pihak berkuasa.  Kerana hanya dari individu yang baik akan menghasilkan masyarakat yang baik, Negara yang dirahmati dan dunia yang lebih aman.


Akhir kalam, mungkin di atas kertas kerja konsert maut, konsert Future Music di Bukit Jalil tersebut hanya tertulis objektif hiburan semata. Tetapi yang tersirat disebalik konsert tersebut adalah pakej seks, arak, dadah, dan  kehancuran belia serta kerosakan tamadun manusia.


Juga mungkin di atas kertas kerja sesebuah ngo seperti Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang menganjurkan himpunan mahasiswa islam setiap tahun. Tertulis hitam putih beberapa objektif namun disebalik himpunan tersebut adalah pembangunan modal insan, pembentukan generasi harapan serta pencetus para pemikir tamadun islam di bumi Malaysia.


Al fatihah buat empat orang belia islam yang maut di konsert tersebut. Moga mereka mendapat keampunan Allah SWT dan semoga para pejuang islam menjadikan cubitan-cubitan tersebut sebagai pendorong gencarnya kerja yang tidak bergaji ini.



ISMA Membangun umat beragenda.
PEMBINA Meneraju arus mahasiswa.


No comments:

Post a Comment