Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi.
Itulah tema Hari Guru 2014 yang disambut meriah di
seluruh tanah air hari ini. Mungkin hari ini para guru bergembira dengan majlis
sambutan di sekolah masing-masing. Namun gelak tawa guru pada hari ini tidak
mampu menyelindung suatu hakikat yang pahit. Hakikat bahawa menjadi guru dewasa
ini bukanlah semudah yang disangka. Tugas menyampaikan ilmu sebagai seorang
guru di samping asakan global, perlu menjadikan guru lebih inovatif. Inovatif
dalam melahirkan modal insan berminda kelas pertama dan berpesonaliti unggul.
Bebanan tugas terkadang menyebabkan guru lari fokusnya
dan tidak mampu menyerlah semasa menyampaikan ilmu dalam PDP. Malah lebih
menakutkan jika bebanan guru menyebabkan generasi pendidik ini hilang fokus
dalam mewujudkan integrasi ilmu umum dengan ilmu ukhrawi. Hasilnya proses
pembelajaran di sekolah hanya akan melahirkan individu berfikrah duniawi semata
dan berjiwa kosong akan tauhid, sahsiah dan akhlak.
Berapa ramai dari golongan guru akhir zaman ini yang
telah menitiskan air mata akibat melihat kerosakan sahsiah anak didik mereka.
Guru tidak sepatutnya disalahkan seratus-peratus dalam ketidak upayaan sistem
pendidikan kita bagi melahirkan modal insan yang unggul. Kerana sejak berdekad-dekad
yang lalu, hampir semua Negara islam mengamalkan system pendidikan yang
berbentuk dualism. Dan inilah kesan penjajahan yang tidak kita sedari kerana ia
lebih berbentuk serangan ideologi.
Di mana “wujud dua system pendidikan yang berbeza iaitu
system pendidikan tradisional Islam dan system pendidikan modan. Sistem
pendidikan tradisional lebih menumpukan perhatiannya terhadap ilmu-ilmu
keagamaan semata-mata dengan mengabaikan ilmu-ilmu moden. Manakala system
pendidikan moden hanya menitik beratkan ilmu-ilmu moden dengan mengabaikan
ilmu-ilmu keagamaan” (Abdul Halim Ramli, dalam rencana tulisannya, Memecah
Dualisme Hamoniskan Ilmu: Reformasi Sistem Pendidikan Menurut Perspektif Syeikh
Mohamad Abduh dan Sayyid Ahmad Khan)
Secara ringkasnya, dualism dalam pendidikan ialah
pengasingan di antara ilmu agama dengan ilmu selain agama. Ini adalah akibat
daripada datangnya kuasa penjajah. Penjajahan Belanda di Indonesia, British di
Malaysia dan Brunei. Di Indonesia misalnya, sehingga kini masih mengamalkan
dualism dalam sistem pendidikan. Akibatnya pendidikan diurus dan ditadbir oleh
dua kementerian. Kementerian Pendidikan mengurus dan mentadbir sekolah umum
daripada tadika hingga peringkat universiti. Manakala Kementerian Agama pula mengelola dan mengurus sekolah agama seperti madrasah dan pesantren daripada
tadika hingga peringkat universiti. Malah peruntukan dan perbelanjaan
Kementerian Pendidikan jauh lebih besar jika dibanding dengan sekolah agama.
Semestinya ini akan memberi impak yang besar kepada integrasi ilmu umum dan
agama dalam masyarakat.
Persoalan besar menghantui kita kini adalah bolehkah para
pelajar hari ini terbentuk akhlaknya dengan nilai-nilai yang baik dan murni
seandainya pendidikan agama tidak diterapkan secara konsisten? Malah bebanan
guru di sekolah juga terkadang menyebabkan generasi pendidik ini hilang fokus
dalam mewujudkan integrasi ilmu umum dengan ilmu ukhrawi Bayangkan impak yang besar kepada generasi
pelapis tamadun manusia di Negara kita ini.
Sedangkan sejarah telah membuktikan bahawa ketamadunan islam telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuwan islam di zaman Bani
Abbasiyah dan selepasnya, al Khindi, Ibnu Rusyd, al Burini, Al Khawarizmi, Ibnu
Sina dan ramai lagi. Mereka tidak hanya
menumpukan pendidikan umum semata bahkan melaksanakan integrasi antara
pendidikan agama dengan pendidikan umum.
Tidak dinafikan kemajuan sesebuah Negara banyak
dibangunkan oleh unsur-unsur pendidikan umum samada dari segi ekonomi, sosial,
budaya, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Namun, secara holistiknya kesan negatif
akan lebih menjuarai apabila system dualism ini diamalkan dalam system
pendidikan kita.
Kerana golongan ilmuwan yang lahir dari dua system yang
terpisah ini akan menyebabkan persaingan dalam keadaan bukan membina bahkan
mungkin menjatuhkan sesama sendiri walaupun beragama islam. Inilah yang akan
menyebabkan konflik pemikiran yang tidak selari malah bertentangan dengan
ajaran Islam.
Para guru akhir zaman perlu sedar bahawa proses
islamisasi perlu dalam asakan global kini. Sistem pendidikan dualisme merupakan
satu bentuk penjajahan bagi melemahkan tamadun islam itu sendiri dan perlulah diganti
dengan system pendidikan bersepadu. Di mana “seluruh proses pendidikan dan
perkembangan ilmu tidak terpisah daripada tauhid, sama ada rohani, jasmani dan
akli. Coraknya adalah bersepadu lantaran itu segala ilmu bersifat kudus dan
sekaligus penglibatannya adalah ibadat bagi
manusia.” (Dr Abdul Halim Muhammad).
Jika proses penyampaian ilmu itu
menolak unsur Rabbani. Hasilnya ilmu dan pendidikan menjadi sekular dan akan
melahirkan para pelajar yang melihat faktor duniawi mengatasi segala-galanya.
Akhirnya, rosaklah tamadun manusia
tersebut kerana kosong jiwanya dari tauhid, sahsiah dan akhlak.
Setinggi-tinggi penghargaan buat sekalian pendidik yang
tidak pernah jemu dan sentiasa bersemangat mencurah bakti membangun tamadun
bangsa ini. Moga gelaran ‘guru’ itu terus membuat kalian berasa izzah dan
bangga setiap kali menitip di bibir anak didik, ibu bapa, masyarakat dan
generasi akan datang. Kerana kehadiran kalian amat bermakna dalam membentuk
gagasan berilmu harapan agama, bangsa dan negara. Mahalnya harga seorang guru
akhir zaman. Syurga tertinggilah balasan setimpal buat kalian guru pendidik
umat harapan.
SELAMAT HARI GURU.
Guru Harapan Ummah.
Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi