Tuesday 25 March 2014

Selamat pulang Ikhwan...


Baru sahaja mendapat berita gembira dari bos unit kajian kami, tuan Aiman Faudzi. Mabrook buat bos yang akan mendirikan bait muslim qudwah insyaAllah. Tak sabar menunggu diri sendiri yang lagi beberapa……tet.

Abang aku bukan suparman kata takpa fikir lebih tentang bait muslim ni yang penting jangan mengedik. 
Hurmm nak hilangkan mood sedih sebenarnya……Allah…………………………


Mursyidul am Ikhwan Muslimin antara 529 penyokong Dr Morsi yang bakal dihukum mati





Menulis dengan jari yang terketar.
Dan mata yang sakit.
Hati yang pedih…

Ikhwan…
selamat pulang ikhwan..



Ya, aku tiada di waktu sang singa, Omar Mohtar dihukum bunuh.
Aku tiada di waktu  pemikir umat, Syed Qutb dihukum gantung.
Aku tiada semasa Al Banna ditembak mati.
Malah aku masih di alam jahiliah semasa kepala Syeikh Ahmad Yasin berkecai.
Juga tika Dr Abdul Aziz ar Rantisi ditembak apache..

Alhamdulillah tarbiyah ini mengenalkan aku dengan mereka. Dan mereka yang lain. Yang selama ini berjuang demi umat. Yang selama ini aku tidak tahu rupa-rupanya umat ini sedang….. TENAT.


Di usia 18 hingga 19.. aku tidur berbantalkan buku Majmuk Rasail, as syahid Hassan Al Banna.
Kitab tu memang sangat tebal.
Bagi aku, itulah kitab terbaik yang pernah aku baca selepas tafsir al Quran.

Aku tahu ikhwan pernah dianiaya sebelum ini. Pencaturan politik yang mungkin perlu dibaiki. Sekali lagi sejarah hitam itu berulang, termasuk Mursyidul am Ikhwan Mohd Badi’ juga antara 529 yang bakal dihukum mati. Sejarah Sayyid Qutb, Muhammad Farghali berulang kembali..!!



“Mereka (529 penyokong Ikhwan) dituduh menyerang orang ramai dan memusnahkan harta awam di selatan Mesir pada Ogos lalu….turut didakwa melakukan keganasan yang menyebabkan dua anggota polis maut di Minya.” 
[Utusan Malaysia, 25 Mac 2014]





Sangat tidak masuk akal..!!
Bagaimana pula dengan  pihak polis, tentera dan rejim haram Mesir ini bertanggungjawab membunuh lebih 8,000 rakyat Mesir di Dataran Rabiah yang berhimpun secara aman menuntut hak demokrasi mereka??!!

Allahu Rabbi...
Tidak semua keadilan terbalas di dunia.



Aku selalu bercita-cita untuk duduk bercanda di taman Firdausi bersama, syeikh Ahmad Yasin, Dr Abdul Aziz ar Rantisi, Zainab Al Ghazali, Sayyid Qutb, Omar Mokhtar dan beribu lagi mujahid mujahidah yang telah menunai janji pada Illahi… Termasuklah kekasih Allah, Rasulullah saw pejuang teragung umat ini.


Ku siapkan post ini tika mana laporan kajian mengenai serangan feminism di dalam IPT Malaysia ku masih belum siap. Hampir 3 hari aku melanggar due date. Bukan tidak mahu menyiapkan, tetapi makin ku kaji, makin banyak bukti ku jumpa, makin ku sedar yang golongan feminis, mahupun liberal makin galak menganjurkan program di dalam IPT di Malaysia. 

Tinggal aku sahaja yang tidak peka akan itu. Ya kamu juga di IPT tidak peka akan kehadiran sesumpah jahiliah yang merosak fahaman mahasiswa kita.
Masihkah lagi kita sibuk dengan wechat yang lagha?
Wassap yang merepek.
Bacaan yang tidak membina.
Perbualan-perbualan kosong.
Malam yang penuh dengan lena.


Arghhhh….
Di sana kau bunuh singa kami, di sini kau rosakkan pejuang harapan islam.





529
selamat pulang ikhwan...


Wahai pejuang ummah…tariklah nafas yang baru.  Perubahan itu di tangan mu.
Kita mulakanlah dengan lima yang mudah ini.


5 Pesanan Syeikh Ahmad Yasin kepada Pemuda dan Pemudi

1) Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.



2) Aku menyeru kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.



3) Wahai para pemuda, aku ingin kalian menyedari dan menghayati makna tanggung jawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kalian untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kalian. Aku menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.Aku ingin kalian tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.



4) Wahai puteriku, aku ingin kalian berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kalian berjanji kepada ALLAH bahawa kalian akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.Kepada semua, aku ingin kalian bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik. Latihlah diri kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.



5) Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. carilah sebab-sebabnya dan tawakal kepada ALLAH.







Tak perlu menjadi ahli unit kajian seperti kami baru ingin cakna isu ummah. Website PEMBINA dan ISMA masyaAllah sentiasa update isu ummah lokaliti juga luarnegara yang wajib kita cakna.
Persoalannya, berapa kali kita menziarah website tersebut?

Masih mahu menatang dulang minta disumbang?
Bukankah segalanya di hujung jari mu wahai pejuang ummah.


Jika baru mahu mula membaca dan tidak suka bahan-bahan berat,
saya cadangkan supaya ikut page ini, https://www.facebook.com/akubukansuparmen

Beliau ahli unit kajian juga, dan beliau tak suka cakap tentang BM.




Selamat pulang wahai Ikhwan....
Selamat pulang....
Keadilan akan terbalas dihadapan Tuhan.







ISMA Membangun Umat Beragenda.
PEMBINA Meneraju Arus Mahasiswa.



Monday 17 March 2014

KONSERT MAUT: Ibnu Sina sudah lama menegur





Kita sebagai mahasiswa yang sentiasa memerhatikan arus Negara tercinta ini. Kita sebagai golongan intelek harapan kepimpinan masa hadapan. Kita sebagai bakal pengisi proksi-proksi pembuat dasar  Negara. Kita sebagai bakal golongan profesional yang akan membangun dan menaikkan tamadun manusia bercorakkan islam di bumi Malaysia.Kita berasa amat jelek dan malu.

Belum sempat rasanya hilang merah di muka dek kerana tragedi bomoh di KLIA yang tersebar luas di media dunia. Semalam Malaysia dikejutkan pula dengan kematian seramai 6 orang belia di konsert tertutup dekat Stadium Bukit Jalil akibat berlebihan dos dadah dan alkohol. Belum dibuka cerita mengenai perhimpunan pro-LGBT di Pulau Pinang yang akhirnya dibatalkan atas desakan masyarakat umum dan beberapa NGO islam. Juga belum dibuka cerita mengenai tuntutan COMANGO di Geneva bagi penghapusan akta jenayah liwat, akta murtad dan pelbagai lagi tuntutan yang mampu mencairkan pegangan umat islam.


Ujian yang menimpa-nimpa ini akhirnya menarik kita ke satu sudut. Kerosakan yang mahadahsyat ini memerlukan solusi. Umat yang terus merintih meraung mencari perlindungan ini perlu dibantu. Dan hanya di tangan orang-orang beriman, dunia ini akan menghentikan tangisnya. Berhenti menuding jari. Bersama mencari solusi.


Ibnu Sina, tokoh keilmuwan islam kita ini telah lama menegur. Bagi melahirkan masyarakat yang berkualiti perlu didahulukan dengan pembangunan modal insan.
Terdapat 4 strategi dasar membangun modal insan. Pertama, mentadbir diri adalah yang paling patut diutamakan dalam rangka membangun manusia dan masyarakat.
Kerana seseorang yang baik pentadbiran dirinya akan lebih berupaya mentadbir yang lain dengan baik.


“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu: penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak mendurhakai Allah SWT terhadap apa yang diperintahkan-NYA lkepada mereka dan selalu megerjakan apa yang diperintahkan”(al tahrim:6)


Ditujukan kepada diri dan kemudiannya kepada keluarga. Ini bermakna setiap individu perlu memulakan dengan dirinya terlebih dahulu sebelum berusaha mengubah orang lain.



Dasar kedua membangun modal insan adalah dengan mengenal pasti hakikat pengislahan dalam diri manusia. Manusia perlu sedar bahawa dalam dirinya ada dua faktor penting dan berpengaruh. Akal dan nafsu.  Setelah mengetahui hakikat ini, maka sebagai insan yang ingin mengislah dirinya perlulah sentiasa memastikan bahawa akalnya yang memimpin dan diberi tanggungjawab menerajui tugas pengislahan ini. Jangan sekali-kali dibiarkan nafsu mengatasi akal.Imam al Ghazali dalam karyanya, Mishkat al-Anwar, mengatakan bahawa akal itu adalah satu aspek dari cahaya Allah SWT pada manusia.



Dasar seterusnya dalam membina modal insan, menyelidik dan mengenalpasti kesemua fasad dalam diri manusia atau orang yang ingin melakukan pengislahan.
Ibnu Sina menekankan kuantiti “semua” di sini kerana menurut beliau sebarang unsur fasad yang tertinggal akan kembali merebak dan membawa masalah di kemudian hari. Diumpamakan luka yang belum sembuh sepenuhnya, jika dibiarkan tanpa rawatan yang sepatutnya boleh kembali merebak dan serius.

Di sini saya ingin menyatakan penghargaan buat NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang lantang menyuarakan kefasadan tuntutan-tuntutan COMANGO terhadap Malaysia. Walaupun disaman kerana didakwa menyebarkan hasutan kepada umum, tetapi kita amat menyanjungi keberanian mereka dalam menyuarakan nahi mungkar tatkala islam benar-benar dirobek maruahnya dan banyak pihak berautoriti yang hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh. Saman tidak akan memiskinkan pejuang Allah, dan penjara tidak akan mampu menghalang mereka bertemu syahid.



Seterusnya, dasar terakhir bagi membina modal insan adalah dengan memilih kawan yang baik dan ikhlas yang akan membantu menilai diri kita dengan lebih objektif dan membina. Sebagaimana hadith Nabi SAW yang menyatakan bahawa sahabat itu ibarat si penjual minyak wangi juga si tukang besi. Oleh itu, amat jelas bahawa siapa teman rapat kita, ia akan memberi impak yang besar kepada siapa identiti sebenar kita.



Kesungguhan dan keberterusan projek pembinaan manusia amat dititikberatkan kerana usaha membina manusia adalah usaha berterusan dan tiada noktahnya. Hal ini kerana, dua unsur yang sentiasa bertentangan iaitu akal dan nafsu yang sering berusaha menguasai salah satu dengan yang lain.Penguasaan akal ke atas nafsu membuahkan pembinaan insan yang berkualiti manakala sebaliknya penguasaan nafsu ke atas akal akan hanya membawa keruntuhan dan kehancuran kepada sesebuah tamadun manusia. Kesemua fakta-fakta ini dijelaskan oleh Ibnu Sina dalam perbincangan tentang siyasah atau pengurusan diri manusia dalam Kitab al-Siyasah.



Kita sebagai mahasiswa islam yang bakal mengisi proksi-proksi penting Negara dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun lagi, amat berharap agar pembinaan modal insan diutamakan oleh setiap lapisan masyarakat juga pihak berkuasa.  Kerana hanya dari individu yang baik akan menghasilkan masyarakat yang baik, Negara yang dirahmati dan dunia yang lebih aman.


Akhir kalam, mungkin di atas kertas kerja konsert maut, konsert Future Music di Bukit Jalil tersebut hanya tertulis objektif hiburan semata. Tetapi yang tersirat disebalik konsert tersebut adalah pakej seks, arak, dadah, dan  kehancuran belia serta kerosakan tamadun manusia.


Juga mungkin di atas kertas kerja sesebuah ngo seperti Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang menganjurkan himpunan mahasiswa islam setiap tahun. Tertulis hitam putih beberapa objektif namun disebalik himpunan tersebut adalah pembangunan modal insan, pembentukan generasi harapan serta pencetus para pemikir tamadun islam di bumi Malaysia.


Al fatihah buat empat orang belia islam yang maut di konsert tersebut. Moga mereka mendapat keampunan Allah SWT dan semoga para pejuang islam menjadikan cubitan-cubitan tersebut sebagai pendorong gencarnya kerja yang tidak bergaji ini.



ISMA Membangun umat beragenda.
PEMBINA Meneraju arus mahasiswa.