Tuesday 8 July 2014

Mengapa Perlu Lelaki Sebagai Ketua Keluarga?

“Ibu, saya tak tahu nak gambarkan perasaan itu bagaimana. Yang saya tahu, saya rasa ingin berkongsi kisah gembira, sedih, cita-cita dan semua harapan saya bersama gadis itu buat selamanya”




Persoalan yang sangat mudah. Mengapa perlunya lelaki sebagai ketua keluarga? Namun akan wujud pula soalan-soalan seterusnya, mengapa lelaki diutamakan menjadi ketua Negara, mengapa hakim mahkamah lebih ramai lelaki, mengapa saksi wanita perlu dua, mengapa wanita tidak boleh menjadi wali nikah, imam solat dan sebagainya. Rentetan persoalan-persoalan tersebut akan membawa kita kepada suatu hakikat bahawa wujudnya gerakan wanita muslim yang menuntut hak persamaan mutlak di antara lelaki dan wanita. Laungan wanita muslim menuntut pembebasan juga hak kesamarataan semakin membimbangkan. Adakah benar syariat Islam menindas wanita? Atau laungan-laungan tersebut hanyalah ikutan dari ideologi gerakan wanita Barat yang telah tertindas dalam sistem hidup mereka sejak berabad dulu.


Gerakan wanita merupakan salah satu senjata Barat untuk melemahkan Islam zaman ini. Pembongkaran strategi Barat melalui rancangan membina jaringan muslim moderate seluruh dunia telah diketahui umum. Laungan-laungan kosong gerakan wanita muslim dalam menuntut hak persamaan dalam tugas-tugas hidup dan segala tindak-tanduknya merupakan satu tuntutan yang tidak mungkin dapat dipraktikkan. Walaupun seluruh wanita di dunia menuntut demikian, walaupun mereka mengadakan berbagai kongres dan membuat resolusi-resolusi yang tegas. Hal ini kerana, Islam telah memberi hak yang sama baik kepada kaum lelaki dan wanita. Namun isunya mengenai perbuatan keji atas nama agama (insyaAllah akan dibincangkan dalam penulisan yang lain) yang akhirnya menindas kaum wanita muslim digunakan sebagai hujah untuk menolak dasar-dasar Islam dan meletakkan islam sebagai sistem kuno dan tidak relevan masa kini.  Liciknya agenda Barat dalam melemahkan kaum muslimin dan memusnahkan harapan kita untuk membina semula tamadun Islam yang unggul.


Perkahwinan merupakan merupakan akad suci yang bukan sahaja mengikat dua jiwa malah pengisytiharan buat sekalian alam dan seisinya akan terbinanya institusi manusia. Keluarga ibarat salah satu bata kecil yang menyatukan masyarakat. Di dalamnya terdapat individu yang bakal menjadi asset kepada pembangunan tamadun manusia. Sebab itu Islam sangat mementingkan pembentukan keluarga juga tarbiyatul aulad kerana sesebuah tamadun manusia yang hebat semestinya bermula dari pacuan madrasah pertama manusia iaitu keluarga.

        
        Perkahwinan juga merupakan perkongsian hidup. Persefahaman jiwa yang lahir dari sifat saling menyintai juga perasaan cinta yang mengikat antara dua hati itu amat perlu demi meneruskan perkongsian hidup antara suami dan isteri. Namun begitu, satu undang-undang umum adalah perlu dalam mengatur perkahwinan tersebut. Mengapa?

         Kerana saya bersetuju dengan pandangan Muhammad Qutb di mana beliau mengatakan bahawa “perkahwinan sebahagian besarnya adalah masalah peribadi. Ia adalah sama seperti ikatan-ikatan yang lain yang berlansung di antara dua manusia yang mana pada pokoknya adalah bergantung kepada sifat-sifat peribadi, keadaan-keadaan jiwa dan akal fikiran, juga keadaan-keadaan rupa paras, tubuh badan dua pihak yang berkenaan itu.”

Maksudnya, seandainya kita mendapati keadaan hubungan suami isteri itu begitu rukun dan damai, maka itu tidaklah semestinya kerana pasangan tersebut masing-masing pandai menjaga kewajipan terhadap satu sama lain. Kita juga sering mendengar sesetengah pasangan tidak dapat kembali kepada rumahtangga yang rukun dan damai melainkan setelah mereka bergaduh dengan sengit. Kerana itu apabila didapati suami isteri yang selalu bergaduh dan bertengkar maka bukanlah semestinya bermakna bahawa sebab-sebab pergaduhan itu ialah kerana si suami bersifat kasar dan si isteri selalu durhaka. Malah kita juga sering mendengar tentang suami isteri yang masing-masing merupakan manusia yang cukup baik, tetapi perasaan mereka tidak secocok antara satu sama lain. Walaupun kadang kedua-dua mereka begitu sedih menyesali nasib mereka yang tidak dapat hidup sefaham dan seia sekata, tetapi malangnya mereka tetap juga tidak dapat mencapai persefahaman.

      
     Oleh itu, satu undang-undang umum adalah perlu untuk mengaturkan perkahwinan tersebut. Islam sebagai satu sistem yang arif akan selok-belok hidup manusia. Semestinya Islam tidak akan membiarkan masalah perkahwinan yang sensitive itu tergantung tanpa peraturan khusus. Sekurang-kurangnya Islam telah mengariskan batas tertentu bagi suami isteri yang tidak seharusnya dilewati. Setelah itu terpulanglah kepada suami isteri tersebut menyesuaikan diri dalam batas peratuan itu. Semestinya dalam rumahtangga yang rukun dan damai tidak memerlukan kepada senjata undang-undang. Namun apabila berlaku perselisihan dan persengketaan antara suami isteri maka barulah kita mencari undang-undang untuk menuntut keadilan dan menyelesaikan perselisihan tersebut.



Relevenkah Islam meletakkan lelaki sebagai ketua keluarga?

Sesuatu yang pasti adalah, perkongsian rumahtangga antara lelaki dan wanita itu harus diserahkan kepada seorang ketua. Ketua tersebut yang akan mentadbir keluarga dan melindungi zuriat yang lahir dari perkongsian hidupnya itu. Seterusnya untuk memikul tanggungjawab-tangungjawab kekeluargaan yang lain. Tiada organisasi yang tidak memerlukan ketua. Tanpa ketua dalam sesebuah organisasi akan timbul kekacauan dan tidak teratur organisasi tersebut. Lantas semua orang yang terlibat akan mengalami kerugian.


Secara dasarnya terdapat 3 pilihan dalam mementukan siapa yang harus diserahkan kuasa dalam meneraju sesebuah keluarga atau rumahtangga. Pertama, diserahkan kepada lelaki. Kedua, diserahkan kepada wanita. Ketiga, diserahkan kepada perkongsian kuasa ketua iaitu antara suami dan isteri.


Semestinya kita terpaksa menolak pilihan yang ke-3. Kerana pengalaman-pengalaman hidup telah membuktikan bahawa satu urusan yang diketuai oleh dua orang ketua itu lebih membinasakan berbanding membiarkan urusan itu tanpa ketua. Al Quran juga telah membuktikan bahawa jika penciptaan langit dan bumi ini diketuai oleh dua Tuhan, semestinya akan akan rosak binasa alam ini kerana keinginan dan kemahuan adalah berlainan dan sudah tentu masing-masing akan berbangga dengan ciptaannya dan masing-masing akan berusaha untuk menewaskan antara satu sama lain. Kalau hal ini mugkin berlaku di antara tuhan-tuhan, kemungkinan lebih hebat kekacauan yang berlaku dalam kalangan kita manusia biasa.



Kini hanya tinggal pilihan pertama dan kedua buat kita. Sebelum kita membincangkan kedua-dua pilihan tersebut, eloklah terlebih dahulu kita bertanya. Manakah yang lebih layak untuk diberi tugas meminpin, fikiran atau sentimen? Jika jawapannya adalah fikiran dengan alasan bahawa fikiranlah yang dapat menguruskan pentadiran dengan teliti tanpa dipengaruhi sentimen-sentimen yang akan melencongkan manusia dari jalan yang lurus. Maka masalah kita sudah selesai kerana pilihan pertama merupakan pilihan yang tepat buat kita. Mengapa? Kerana kejadian lelaki lebih banyak dilengkapkan dengan kemampuan berfikir, kesanggupan berjuang, memikul akibat dan tanggungjawab dalam memegang tampuk pimpinan keluarga.




Benarkah wanita lebih sentimen dan lelaki lebih mantap dari sudut fikiran?

Beratus kajian telah dijalankan di seluruh dunia mengenai perbezaan yang ketara antara otak lelaki dan wanita. Ini merupakan salah satu bidang kajian yang amat saya minati terutamanya dalam menjawab hujah golongan feminis yang menuntut hak kesamarataan mutlak antara lelaki dan wanita. Para pakar neurologis telah mendapati bahawa bentuk interaksi antara neuron antara otak wanita dan otak lelaki adalah amat berbeza. Lelaki menggunakan bahagian depan dan belakang otak manakala wanita menggunakan bahagian kiri dan kanan otak. Hal ini menyebabkan wanita lebih mampu untuk membuat banyak pekerjaan dalam suatu masa (multitasking) berbanding lelaki yang lebih bersifat focus. Sebab itu wanita kebanyakkannya mampu untuk bercakap sambil mendengar dan itu sangat sukar bagi kebanyakkan lelaki. Namun, pada sesetengah masa dan individu perkara ini berbeza tetapi secara amnya ita boleh mengambil hasil kajian para neulogis ini sebagai dasar yang kuat mengapa Islam mengutamakan lelaki dalam mengetuai keluarga dan sebagainya.


“the female brain is wired to empathize and the male brain is characterized by its tendency to systemize. The male brain seeks to develop a set of logical rules that guide another person's behavior. When a man can't understand someone else's behavior through logic, he tends to become confused about how to proceed. Women, on the other hand, may be more empathetic because their brains' mirror neurons are more sensitive than men's. Mirror neurons cause us to imitate emotions and actions that we're exposed to. One theory is that women's mirror neurons allow them to more easily hone in on another person's emotional cues.” (Simon Baron)


Menurut pakar neurologis Simon Baron, wanita bersifat lebih empathy dan lelaki bersifat lebih systemize. Dan hal ini disokong oleh pakar biologi Professor Lewis Wolpert di mana beliau mengatakan bahawa empathy dan systemize ini adalah dua sifat yang dibawa secara genetik oleh lelaki dan wanita. Tegasnya lagi, tugas wanita secara biologinya yang akan mengandung, melahirkan, menyusui anak dan ini menjadi sebab kewujudan sifat empathy yang amat ketara pada wanita. Perasaan kasih mesra yang begitu halus dan sifat empathy merupakan keperluan sebagai ibu. Inilah ciri kejadian wanita yang membantu dalam melaksanakan tugas keibuannya dan matlamat kehidupan yang sememangnya sedemikian ditetapkan oleh Allah swt.



Kejadian lelaki pula lebih banyak memerlukan kepada ciri kekuatan fikiran dan intelektual. Sebab kekuatan fikiran lebih mampu mengatur tadbir dan membuat rancangan teliti sebelum dilaksanakan. Kekuatan fikiran juga tidak secepat sentiment dan empathy, kerana apa yang diharapkan dari fikiran itu bukanlah kepantasan bertindak tetapi tetelitian dan ketepatan dalam bertindak yang menghitung segala kemungkinan dan akibat. Juga ketelitian memilih cara yang terbaik untuk mencapai matlamat-matlamat yang dikehendaki. Samada menyusun politik pemerintahan, melancarkan peperangan, perdamaiana, aturan ekonomi yang mana urusan tersebut memerlukan fikiran yang mendalam dan perlu dihindari dari sentiment mahupun empathy yang berkobar. Kerana itu lelaki diletakkan pada tempat yang wajar untuk melaksanakan tugas yang cocok dengan kejadiannya.



Namun, apabila Islam menyerahkan tampuk pimpinan keluarga pada lelaki, ini bukanlah bermakna supaya lelaki itu bertindak sewenang-wenangnya terhadap isteri juga pentadbiran keluarga. Malah sebaliknya supaya dia berlaku adil dan mentadbir dengan garis yang telah ditetapkan islam. Pemimpin keluarga yang baik adalah yang tidak menafikan hak isteri dalam perundingan dan kerjasama. Malah pimpinan keluarga yang berjaya adalah yang berlandaskan sikap saling mengerti dan saling bertimbangrasa terhadap satu sama lain.



“Bergaullah dengan isteri-isterimu itu dengan baik” (surah an nisa: 19)

“Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya” (HR al Tirmizi)



Rasulullah saw telah menegaskan bahawa ukuran kebaikan seseorang lelaki itu adalah dengan cara layanannya terhadap isterinya. Ini adalah ukuran yang amat tepat kerana apabila seseorang lelaki itu memberi layanan yang buruk terhadap isterinya maka ini membuktikan bahawa jiwanya dihambat penyakit yang mengikis sifat-sifat baik pada suami tersebut.



     Sebagai penutup, kedudukan lelaki sebagai ketua keluarga merupakan suatu ketetapan yang sangat tuntas dari ajaran Islam. Terbukti islam merupakan cara hidup yang amat syumul dan tidak mengetepikan mana-mana ruang lingkup hidup penganutnya. Gerakan feminis muslim yang menuntut hak kesamarataan mutlak wanita merupakan laungan kosong yang bermodelkan gerakan wanita barat. Penyelewengan yang dilakukan oleh sesetengah individu atas nama islam (insyaAllah akan dibincang dalam penulisan lain) tidak boleh dijadikan hujah bahawa Islam merupan sistem hidup kuno yang tidak releven lagi zaman moden ini. 






Gerakan wanita muslim ini perlu diselamatkan dan dasar-dasar Islam yang sememangnya memberi hak yang sama baik antara wanita juga lelaki perlu di sebar luas dan di fahami falsafahnya. Agar gerakan wanita muslim ini tidak tertarik dengan hasutan musuh islam yang bertujuan mempamerkan Islam itu tidak releven dan melarikan kiblat wanita muslim ini kepada gaya hidup Barat yang jauh dari semangat aqidah dan syariat Illahi taala. Apalah yang kita harapkan lagi bilamana rosaknya fikrah wanita muslim? Mampukah lagi terwujud impian kita melihat tamadun Islam yang unggul untuk kembali? Sedangkan saff pertama pembentukan ummah sudah lumat musuh musnahkan.




Rujukan:

1)Muhammad Qutb, Salah Faham terhadap Islam.
2)Simon Baron, The Essential Difference: Men, Women and the Extreme Male Brain
3)Robin Llyod, Emotional Wiring Different in Men and Women, http://www.livescience.com/4085-emotional-wiring-men-women.html
4)Prof Lewis Wolpert on the physical and psychological differences between men and women. Are men and women really from different planets? http://www.youtube.com/watch?v=gWt6DW8I4Ao