Sunday 5 May 2013

Fahami HUDUD dalam masa 5 minit sahaja..


HUDUD
Apa yang kita tahu mengenai hukum islam ini?
Tidak perlu pergi jauh.
Tidak kira siapa pun anda,.Menteri, Pensyarah, Doktor, Free Thinker, pelajar jurusan ekonomi.
Hanya dengan anda meluangkan masa selama 5 minit dengan membaca artikel ini, anda akan tahu dan memahami APA ITU HUDUD YANG SEBENAR.



Sudah sedia?
Bismillahirrahmanirrahim….



"Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama".(Dr. Mahathir b.Mohamed, 2.5.1992)


Presiden MCA, Chua Soi Lek yang mendakwa 1.2 juta rakyat akan hilang pekerjaan jika hukum hudud dilaksanakan(18/10/2012)




“DAP dan Pas boleh dan harus bekerjasama untuk masa depan rakyat berdasarkan prinsip bersama yang menyatukan kita daripada membiarkan perbezaan ini untuk memecah belahkan kita.
Jelas, ‘dasar bersama’ tersebut tidak menyebut tentang perlaksaan negara Islam atau undang-undang hudud dalam kerajaan persekutuan PR masa depan,”
 Guan Eng (30/7/12)


 “PAS patut menerima hakikat bahawa mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam merupakan langkah sia-sia dan tidak akan dapat dicapai." Karpal singh (24/8/2010)





"They (PAS) had proclaimed that Malaysia should be an Islamic state. Now, I have taken the issue with them and I have suggested that in a multi-religious country like Malaysia, any pronouncement or proposition for the establishment of Islamic state is untenable," Anwar Ibrahim (9/4/2005)









Dalam keghairahan memberi pendapat, sama ada berasas ataupun tidak, atau hanya berdasarkan rasional semata-mata.
Tanpa disedari mereka telah terheret menghina hukum agama. Di sini bermulalah peringkat di mana seseorang itu harus menyedari bahawa hudud itu bukanlah miliknya atau milik orang lain. Tetapi ia adalah hukum yang diturunkan kepada manusia kerana keihsanan Maha Kuasa.

Pendapat yang melulu tanpa mengetahui hukum melaksanakannya sama ada fardu ain atau kifayah menyebabkan orang boleh berkata bahawa hudud adalah lapok dan hanya sesuai pada zaman manusia berkafilah dengan unta.


Ketakutan yang mencengkam masyarakat kita terutamanya ahli politik adalah:

- Pembangunan Negara akan terbantut kerana ramai yang akan cacat.
- Akan menimbulkan konflik perkauman dan keagamaan kerana ditakuti kaum-kaum lain yang tidak dapat menerimanya.
- Industri pelancongan akan merosot kerana terlalu banyak perkara yang dilarang
- Tokoh-tokoh politik berasa kuatir jika dilaksana akan membuat mereka hilang pengaruh di kalangan kaum lain dan sebagainya.







Wahai pencinta keamanan.
Jernihkan kembali persepsi kita mengenai hukum ini yang telah tercemar dek tsunami media massa. Saya menyeru kalian untuk bersama melihat hakikat hukum hudud ini. Bukalah topi politik kita sebentar dan bacalah artikel ini sehingga tamat. Kemudian, terpulang kepada anda wahai sang pencinta keamanan, untuk menilai hukum yang turun dari langit ini.

Pertama
Izinkan saya memperjelas dan memperbetul dahulu salah faham yang berleluasa mengenai hukum hudud ini.


HUKUM HUDUD TIDAK ADIL
Jika seorang wanita dirogol. Lalu dia membuat laporan kepada pihak berkuasa. Namun dia tidak dapat membawa 4 orang saksi lelaki. Maka, penjenayah tersebut terlepas dari hukum hudud. Di mana sepatutnya hukum hudud bagi muhsan (orang yang belum melakukan hubungan intim suami isteri) yang berzina adalah seperti yang termaktub dalam firman ALLAH SWT dalam surah an Nur ayat 2:

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebat”



Hukum hududnya akan dilaksanakan bila mana mempunyai salah satu dari syarat tersebut:

- Pengakuan salah si tuduh bahawa ia telah melakukan kesalahan itu atau
- Sekurang-kurangnya 4 orang saksi lelaki Islam yang baligh

Berbalik kepada kes rogol tadi. Jadi, pesalah rogol itu tidak akan dikenakan hukum hudud yakni sebatan sebanyak 100 kali sedangkan dia benar-benar telah merogol wanita tersebut. Maka hukum hudud tidak adil.
Sebentar wahai pencinta keadilan.

Seksyen 9(1) Ordinan Kesalahan Zina 1979, Pakistan. Memperuntukkan zina atau zina secara paksaan (zina-bil-jabr), yang dibuktikan secara kesaksian (syahadah). Tetapi tidak mempunyai saksi yang cukup (kurang dari 4 orang) maka hudud tidak boleh dilaksanakan. TETAPI
Mahkamah boleh melaksanakan hukum TAKZIR.
 Apa itu hukum takzir? InsyaAllah akan kita huraikan sebentar lagi.
Mana lagi berat, hukum takzir atau hudud?

Jika hukum hudud bagi orang yang berzina dan cukup syarat kesaksiannya, maka 100 kali sebat merupakan hukuman yang di tentukan oleh ALLAH SWT.
Tetapi di dalam hukum Takzir, hukuman boleh menjadi lebih berat. Kerana hukuman tersebut ditentukan oleh kebijaksanaan hakim itu sendiri. Jika hukum hudud 100 kali sebat, boleh jadi takzir lebih berat. Mungkin sebat itu menjadi 80 sahaja, namun ditambah pula dengan denda RM10 000 atau penjara 20 tahun atau dibuang negeri atau kombinasi semua hukuman tersebut.

Jadi, pesalah rogol tersebut tidak akan sesekali terlepas. Begitulah adilnya undang-undang jenayah Islam.






Seterusnya,
Izinkan saya untuk terus membongkar betapa adilnya Undang-undang jenayah Islam ini.

BUKAN SENANG UNTUK LAKSANA HUKUMAN HUDUD.

Islam tidak lapar untuk menghukum. Islam sendiri merupakan ajaran yang mendidik. Bukan menghukum sesuka hati. Malah pensyariatan hudud dan qisas di dalam hukum jenayah Islam sendiri adalah untuk mendidik masyarakat menjadi baik. Membentuk masyarakat yang takut untuk melakukan kejahatan dan kemungkaran hasil dari kesedaran dari dalam diri mereka sendiri. Sekali lagi saya nyatakan, Islam tidak lapar untuk menghukum.

Kita singkap kembali sirah Rasulullah saw. Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah saw lalu membuat pengakuan bahawa dia telah melakukan zina. 



Hadis Rasulullah Saw daripada Abu Hurairah:

“Seorang lelaki telah datang memanggil Baginda ketika Baginda berada dalam masjidnya sambil berkata : Ya Rasulullah, sesungguhnya saya telah berzina. Lalu Baginda menolak pengakuannya sehinggalah dia datang kepadanya sebanyak 4 kali. Apabila dia selesai membuat pengakuan terhadap dirinya sebanyak 4 kali, Baginda terus memanggilnya dan bertanya lagi : Adakah engkau seorang yang sudah muhsan (telah berkahwin dan melakukan hubungan intim suami isteri)? Dia menjawab : Ya. Lantas dengan itu Baginda bersabda : Bawalah dia pergi dan rejamkannya.”



Wahai pencinta keadilan,
Lihat. Betapa adilnya hukum jenayah Islam ini. Walaupun lelaki tersebut telah mengaku kesalahan zinanya, namun Rasulullah saw masih menyoal sedetailnya.

Sehingga jika pesalah tersebut menarik semula pengakuan salahlakunya itu sebelum hukum hudud dilaksanakan, maka hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan terhadap pesalah tersebut
Kerana hukuman hudud akan terhalang dengan wujudnya syubhah.

Maka benarlah, islam tidak lapar untuk menghukum.
Hukum jenayah Islam adalah untuk mendidik masyarakat menjadi baik dan berguna.

Rasanya cukuplah sedikit untuk kita perjelas salah faham yang berleluasa kini. Mari bersama saya untuk mengetahui dan memahami konsep dan pelaksanaan sebenar undung-undang jenayah Islam ini.
Ia mudah.
Buka topi ego dan politik masing-masing.
Seterusnya, keadilan dan kesaksamaan undang-undang ini akan terpancar di mata kalian.








BAHAGIAN DAN HUKUMAN JENAYAH ISLAM
Bila berbicara mengenai hukum hudud. Ia merupakan sebahagian kecil dari hukum jenayah Islam.

Terdapat 3 bahagian jenayah Islam:

(1) Jenayah QISAS (bunuh atau cederakan anggota)
(2) Jenayah HUDUD (zina, minum arak, mencuri, merompak, murtad)
(3) Jenayah TAKZIR


BENTUK HUKUMAN dalam jenayah islam:

- Pembalasan qisas
- Pembayaran diyah
- Rejam
- Sebat
- Potong anggota tangan atau kaki
- Buang daerah
- Hukum bunuh
- Penjara
- Taubikh (tindakan memalukan pesalah melalui kata-kata di hadapan orang ramai)

Di sini saya ingin mengingatkan kalian agar tidak terkeliru antara BAHAGIAN JENAYAH ISLAM dengan BENTUK HUKUMAN DALAM JENAYAH ISLAM.
Kerana bahagian jenayah yang berbeza akan membawa kepada bentuk hukuman yang berbeza juga.

Silapnya masyarakat kita kerana, selama ini masyarakat dan media asyik bercakap mengenai hukum hudud semata. Sedangkan dalam undang-undang jenayah Islam, terdapat juga qisas dan takzir.
Maka, selepas ini kita tidak akan menyebut mengenai hukum hudud semata. Tetapi kita akan bercerita mengenai UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM. Barulah keadilan yang kalian inginkan akan terbuka luas di hadapan kalian nanti insyaAllah. Dan saya pasti, anda wahai pejuang hak asasi manusia, pasti akan mengangkat tangan dengan sendiri untuk merelakan undang-undang ini dilaksana di bumi yang kita cintai, Malaysia.








MATLAMAT UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM:

-Mengawal kepentingan individu yang berkaitan dengan agama, nyawa, akal, keturunan, kehormatan, dan harta benda.
Disamping mengawal kepentingan masyarakat umum dari sudut keselamatan, ketenangan dan kestabilan hidup. Dengan itu akan tertegaklah keadilan dalam kehidupan sesebuah masyarakat.

- Mengislah dan memulihkan diri pesalah agar menjadi warga Negara yang baik yang mampu memberi khidmat baktinya kepada agama dan Negara.



(1) hukuman qisas : untuk menjaga NYAWA dan DIRI MANUSIA
(2) hukuman hudud peminum arak : untuk menjaga AKAL*
(3) hukuman hudud pesalah zina : untuk memelihara KETURUNAN
(4) hukuman hudud curi dan rompak : untuk mengawal HARTA dan NYAWA
(5) hukuman hudud orang murtad : untuk mempertahan kesucian AGAMA ISLAM

*Ulama khilaf (bercanggah) dalam menentukan hukuman bagi pesalah bukan islam. Kerana arak bukan satu kesalahan dalam aqidah orang bukan Islam.



BEZA HUDUD, QISAS DAN TAKZIR.

- Hudud dan Qisas : Bentuk kesalahan dan hukuman dinaskan dari Al Quran dan Sunnah.
- Takzir                   : Bentuk hukuman tidak dinaskan dan pemerintah boleh menentukan
          jenis-jenis kesalahan dengan kadar hukuman.

Pada prinsipnya, hukuman hudud dan qisas tidak boleh dipinda atau diubah oleh pemerintah atau hakim manakala bagi jenayah takzir adalah sebaliknya. Senang cerita, kita sebagai manusia langsung tidak punya hak untuk menyentuh hukum hudud dan qisas yang telah ditetapkan oleh Islam. Contohnya, hudud bagi orang yang berzina yang bersaksikan 4 orang lelaki yang adil adalah 100 kali sebatan. Maka, wajib untuk dilaksanakan hukum tersebut terhadap pesalah itu.

Tetapi, jika hukum hudud tersebut itu gugur dan berpindah kepada hukum jenayah takzir. Boleh jadi hukuman menjadi lebih berat kerana hukuman takzir merupakan hukman yang ditetapkan oleh pemerintah dan hakim. Boleh jadi hukuman yang hanya 100 sebat itu bertukar kepada hukuman, penjara, denda, buang negeri dan sebagainya mengikut budi bicara hakim tersebut. Seperti yang telah kita bincang di atas tadi. (rujuk tajuk HUKUM HUDUD TIDAK ADIL)





ORANG BUKAN ISLAM TERLEPAS DARI UNDANG-UNDANG
JENAYAH ISLAM?

Syariat Islam adalah universal (sejagat), maka Undang-undang Jenayahnya juga mengambil sifat yang sama kerana ia merupakan sebahagian dari syariat itu sendiri. Maka Undang-undang Jenayah Islam adalah bersifat iklim . Lantaran itu perlaksanaannya merangkumi semua bentuk kesalahan jenayah yang berlaku di dalam kawasan/ iklim kekuasaan Islam tanpa dilihat kepada kerakyaatan atau agama pesalah yang melakukannya.

Setiap rakyat Negara Islam perlu patuh kepada Undang-undang Jenayah Islam ini. Mereka yang terlibat adalah:

(1) Rakyat yang muslim

(2) Golongan dhimmi     -  tidak menerima aqidah Islam tetapi BERSETUJU untuk bernaung di
     bawah kedaulatan Undang-undang Islam dan membayar cukai
                 perlindungan (jizyah)

(3) Golongan musta’min-  Biasanya mereka terdiri daripada rakyat Negara asing yang
         memasuki Negara islam. 


Indah dan adilnya undang-undang jenayah Islam. Perbahasan mengenai undang-undang ini terlalu luas. Di sini kita akan merungkai secara ringkas sahaja jenayah dan hukuman bagi QISAS, HUDUD dan TAKZIR serta pelaksanaannya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.




(1) JENAYAH QISAS

Jenis kesalahan dan hukuman dalam jenayah qisas telah ditetapkan di dalam nas al Quran dan Sunnah. Pada prinsipnya, hukuman tersebut tidak boleh diubah atau dipinda oleh pemerintah atau hakim.

Qisas dari segi bahasa : persamaan

Dari segi syarak : Keseksaan yang sama dan kesalahan terhadap jenayah bunuh dan kecederaan anggota dengan sengaja.

BAHAGIAN JENAYAH QISAS:

(1) Jenayah Pembunuhan
(2) Jenayah Kecederaan


DALIL BAGI HUKUMAN QISAS:

(1) JENAYAH PEMBUNUHAN

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu menjalankan hukuman qisas dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh, iaitu orang yang merdeka dengan orang yang merdeka, hamba dengan hamba, den perempuan dengan perempuan”
 (al Baqarah: 178)

(2) JENAYAH KECEDERAAN

“Dan KAMI telah tetapkan atas mereka di dalamnya (iaitu Kitab Taurat) bahawa nyawa dibalas dengan nyawa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang)”
 (al Maidah : 45)


Hukuman ni dnaskan dalam ai-Quran dan sunnah. Dalam kes bunuh sengaja, hukumannya adalah bunuh balas. Bagaimanapun pengampunan boleh diberikan oleh waris yang kena bunuh ke atas penjenayah. Dalam keadaan ini penjenayah dikehendaki membayar diyah jika dituntut oleh wali. Sungguhpun begitu penjenayah masih boleh dijatuhi hukuman takzir.

Terdapat perbezaan pendapat dalam cara pelaksanaan hukuman ke atas pesalah jenayah ini. Syarat-syarat yang ketat dikenakan dalam pelaksanaan qisas pada anggota. Jika tidak dapat dilaksanakan qisas maka hendaklah dikenakan diyah.



ORANG BUKAN ISLAM (dhimmi) JUGA DIHUKUM QISAS?

Keterikatan seseorang dengan Undang-undang Islam boleh berlaku sama ada menerusi penganutan agama Islam atau perjanjian yang dimeterai, iaitu yang dikenali sebagai perjanjian dhimmah atau perjanjian aman bagi mereka yang tidak menganut agama Islam.

Jika tujuan disebalik mewajibkan hukuman qisas adalah untuk memelihara kehidupan manusia, maka tujuan itu wujud pada diri seorang dhimmi ketika dia dilindungi oleh perjanjian dhimmahnya.

Oleh itu qisas adalah wajib ke atas sesiapa sahaja yang membunuhnya sama ada pesalah itu seorang Islam ataupun dhimmi.






(2) JENAYAH HUDUD

Hudud ditakrifkan sebagai keseksaan yang ditetapkan (kadar dan jenis)  yang wajib dilaksanakan sebagai hak ALLAH SWT(diwajibkan untuk menjaga kepentingan umum).
Hakim atau pemerintah tidak boleh meminda atau mengubahnya apabila cukup syarat-syarat pelaksanaanya.

Sedangkan qisas melibatkan hak manusia atau hak perseorangan.

JENIS DAN BENTUK HUKUMAN HUDUD:

(1) Hudud zina – 100 kali sebat (bukan muhsan) (surah an Nur:2)
                        -  Rejam sehingga mati (muhsan)
(2) Hudud qadhf (tuduh zina) – sebat 80 kali (surah an Nur:4)

(3) Hudud minum arak – sebat tidak lebih 40 kali (berdasarkan hadis riwayat ar Tirmizi)
                                    - sebat 80 kali – zaman Umar al Khatab

*bukan Islam dikecualikan daripada hudud minum arak kerana ia tidak haram dalam agama mereka. Namun, kesan arak boleh mencetuskan pelbagai jenayah dan masalah, maka wajar hudud tersebut diwajibkan kepada mereka jika mereka terang-terangan menonjolkan perbuatan meminumnya di khalayak umat Islam dan dalam keadaan mabuk yang nyata.

(4) Hudud mencuri  - Potong tangan (dari pergelangan tangan) *

* ulama khilaf dalam perlaksanaannya kepada golongan bukan Islam (dhimmi). Namun wajar golongan dhimmi dikenakan hudud yang sama kerana mereka dilindungi perjanjian dhimmahnya. Maka, wajib hudud bagi orang Islam atau tidak. Tetapi jika pesalah laku tidak tahu hukum mencuri adalah potong tangan, maka dia akan terlepas dari hukuman tersebut. Begitu juga bagi kesalahan hudud yang lain.

(5) Hudud merompak – Bunuh atau salib jika membunuh dan merampas harta benda
                                    - Bunuh tanpa salib jika hanya membunuh sahaja
                                    - Potong tangan dan kakinya jika pesalah hanya merampas harta benda
  Sahaja
- Buang negeri jika pesalah hanya sekadar menakutkan orang awam sahaja
- (al Maidah : 33-34)

(6) Hudud murtad  - Wajib lelaki atau perempuan Islam yang murtad untuk diminta bertaubat
        sebanyak 3 kali. Jika dia tidak mahu bertaubat, dia akan dijatuhkan hukuman
        bunuh.
     
*Tiada peruntukan khusus bagi orang bukan Islam. Namun mereka tidak dibenarkan sama sekali menggalakkan orang Islam menjadi murtad sama ada dengan agama mereka atau agama lain. Jika melakukan demikian mereka dianggap telah melanggar perjanjian dhimmah. Dengan itu perlindungan untuk diri dan harta benda mereka terbatal. Pemerintah diminta untuk membawa mereka keluar dari perbatasan Negara ke tempat yang aman kerana mereka telah bertukar kepada seorang harbi (kafir yang perlu di perangi).



(3) JENAYAH TAKZIR

Takzir adalah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan hukumannya tetapi tidak mencukupi syarat bagi menjatuhkan hukuman tersebut.

Pemerintah boleh menentukan kadar hukuman takzir dengan mengadakan undang-undang ke atas kesalahan itu, sama ada kesalahan jenayah atau awam dengan tujuan untuk memelihara keselamatan, ketenteraman dan maslahah awam.

Bentuk hukuman:

-sebat
-penjara
-buang negeri
-penghinaan
-cacian dan sebagainya.






PENUTUP

Penjelasan dan penerangan mengenai Undang-undang Jenayah Islam dan keadilan Islam perlu diberikan secara menyeluruh dan berkesan kepada semua lapisan masyarakat sebelum ianya dilaksanakan.
Cara begini boleh menghilangkan kekeliruan dan kebimbangan yang timbul justeru kejahilan mengenainya.

Badan pengkaji bagi memperdalam lagi pelaksanaan hukum ini di Malaysia amat diperlukan kerana setelah diteliti, masih banyak cara pelaksanaan undang-undang ini yang masih belum terjawab kerana kita bukan sahaja bermasyarakatkan penduduk Islam, malah kita juga berakyatkan golongan bukan Islam yakni dhimmi.

Falsafahnya bertujuan untuk MENCEGAH serta MENDIDIK dan bukanlah semata-mata untuk menghukum. Tidak wujud penindasan bagi sesetengah golongan. Malah, Undang-undang jenayah Islam cukup adil bagi semua agama. Jika anda wahai pejuang keadilan dan hak asasi manusia, jika anda hayati konsep dan pelaksanaannya, anda pasti akan mengangkat tangan untuk menjadi orang yang pertama melaungkan pelaksanaannya di bumi Malaysia kita yang tercinta.

Dari sudut sejarahnya, undang-undang ini telahpun diterima pakai oleh masyarakat Islam pada zaman kerajaan Melayu Melaka sehinggalah ke zaman sebelum kedatangan penjajah Barat yang telah menukarkannya menjadi kepada undang-undang mereka. Sebahagian besarnya jelas bercanggah dengan kehendak dan peruntukkan di dalam undang-undang Islam.

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh ALLAH (kerana mengingksrinya), maka mereka itulah orang-orang kafir”
(al Maidah: 44)

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh ALLAH, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”
(al Maidah: 45)

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh ALLAH, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”
 (al Maidah: 47)

Oleh itu marilah kita mengatur strategi untuk menghayati semula di dalam zaman pembangunan ini, sesudah sekian lama warisan ini kita abaikan dan membiarkannya terpinggir, sedangkan itulah yang dihayati oleh datuk nenek kita dahulu yang berjaya membina tamadun Islam Melaka, Acheh, dan Patani yang amat kita banggakan dan kesannya kita warisi sehingga ke hari ini.
Wallahua’alam.





1 Dato’ Dr Abdul Monir Yaacob, Kedudukan dan Pelaksanan Undang-Undang Jenayah Islam
   di Malaysia
2 Prof. Madya Dr.Mat Saat Abdul Rahman, Uqubah Menurut Undang-Undang Jenayah Islam
3 Prof. Madya Dr.Mat Saat Abdul Rahman, Uqubah di Dalam Jenayah Qisas dan
   Pelaksanaannya Dalam Masyarakat Majmuk
4 Prof. Madya Dr.Mat Saat Abdul Rahman, Uqubah di Dalam Jenayah Hudud dan
   Pelaksanaannya Dalam Masyarakat Majmuk
5 Prof. Madya Dr.Mat Saat Abdul Rahman, Uqubah di Dalam Jenayah Takzir dan
   Pelaksanaannya Dalam Masyarakat Majmuk




3 comments:

  1. ukhti, ia 'mmbuka mata' pmbaca..teruskn ya! smga ini dpt mmberikn kfhmn kpd saudra2 kita yg lain tntg hudud ini :)

    ReplyDelete
  2. izinkan saya berkongsi article ini... thnks

    ReplyDelete