TAJUK
CERPEN:
“Destinasi Cinta”
“Destinasi Cinta”
PENULIS:
Sharifah Abdul Samad
Sharifah Abdul Samad
No.KEAHLIAN
PEMBINA:
819
Beberapa orang urusetia sibuk keluar masuk dewan.
Seorang lelaki sedang berjengket menampal kertas putih bersaiz A4 di dinding luar. Tertera di sana “TEMPAT BERKUMPUL SISWA”.
Kelihatan juga para pelajar mula berbaris di pintu utama Dewan Kolej UNITI
untuk mengambil tempat masing-masing .
“Khairani Bt Ahmad.!”
seorang wanita lengkap berkot
memanggil nama Khairani. Di lehernya tergantung tag urusetia. Khairani
mendongakkan kepalanya. Saiz badan Khairani yang agak kecil itu menyukarkannya
untuk melihat urusetia yang memanggil namanya sebentar tadi. Lantas gadis
berusia 20 tahun itu mencelah-celah siswi yang lain untuk mengambil tempat di
hadapan.
“Khairani, tempat awak di sini ya. Seterusnya, Zakuan
B. Ramli.” Urusetia itu
terus memanggil nama pelajar yang akan duduk bersebelahan dengan Khairani.
Seorang lelaki berbadan tegap mendekati kerusi di sebelah Khairani, kemudian dengan
penuh sopan lelaki itu mengambil tempatnya. Sempat juga Khairani menjeling
sebentar ke arah lelaki tersebut.
“emmm..kenapalah kerusi kami ni dekat sangat. Astaghfirullah..”
Khairani berbisik sendiri.
Dipegang bucu kerusinya lalu menarik sedikit ke sisi sebelah kiri. Khairani
mengembus nafas lega. Dia agak tidak selesa untuk duduk hampir dengan lelaki
tersebut. Walaupun mereka merupakan rakan sekuliah namun batas agama membuatkan
muslimah yang cantik bertudung labuh ini segan dan malu berada berhampiran dengan
mana-mana ajnabi.
Umat Islam harus cemerlang
Hari ini mesti lebih baik dari semalam
Jangan buang masa
Siapa kata kita tidak boleh
Kita ada ALLAH MAHA KUASA
Kita punya kuasa tenaga
Umat Islam sentiasa boleh.!
Umat Islam sentiasa boleh..!!
Lagu “Menuju Wawasan” dendangan kumpulan UNIC rancak
bergema di dalam ruang dewan. Khairani menggerak-gerakkan jari telunjuknya
mengikut tempo lagu tersebut. Matanya ligat memerhatikan para siswa dan siswi
yang masih berdiri mencari tempat. Dia leka sebentar. Matanya terpaku pada jam
bersaiz besar di sisi kanan pentas. Jarum jam tepat menunjukkan 9 pagi.
Namun ruang dewan masih ada yang lompong.
“Mungkin ada yang tidak dapat hadir Majlis
Kecemerlangan Kolej kali ini.” Mata Khairani terus leka memerhatikan gelagat hadirin yang lain.
Dialihkan redup matanya itu keluar dewan. Pepohon hijau melambai-lambai sungguh
mendamaikan. Langit luas terbentang mengingatkan Khairani kepada KEBESARAN SANG
PENCIPTAnya.
“SubhanAllah…” itulah kata-kata yang terpacul dari bibirnya setiap
kali merenung tanda-tanda kekuasaan ALLAH SWT itu.
Lamunan gadis kelahiran Johor itu terhenti apabila
Tuan Pengerusi majlis meminta para hadirin berdiri memberi hormat kepada para
VIP. Khairani terus berdiri kemudian membetul-betulkan kain kurungnya berwarna
blue black yang agak senget mungkin kerana tertarik semasa dia mengalihkan
kedudukannya tadi. Kelihatan Tuan CEO Kolej UNITI melangkah masuk ke pintu
utama dewan. Lelaki yang berusia 50an, berbaju batik dan bercermin mata itu
diapit lagi dua orang pegawai. Segak dan berkarisma gayanya. Senyumnya terukir
di bibir sambil mengangguk-nganggukkan sedikit kepadanya ke arah para siswa dan
siswi yang berada di dalam dewan.
“Hadirin yang dikasihi sekalian, seterusnya anugerah
kecemerlangan kepada pelajar-pelajar Program Pengajian Islam.”
Khairani bersiap sedia untuk naik ke pentas kerana
namanya berada di senarai teratas.
“Dipersilakan, saudari Khairani Bt Ahmad dengan
PNGKnya 4.00” Dewan mula
gemuruh dengan tepukan para hadirin. Ada juga beberapa orang hadirin yang
berdiri sebagai tanda penghargaan. Khairani berhati-hati menyusun langkah.
Pandangannya agak terganggu dengan lensa kamera yang tidak henti-henti
menyimbah cahaya. Dia menarik senyum di hadapan Tuan CEO Kolej UNITI.
Namun hatinya gemuruh. Dia ingin segera turun dari
atas pentas tersebut.
Khairani menarik nafas lega setelah kakinya menjejak
semula ke lantai dewan. Hatinya risau ketika berada di atas pentas sana kerana
diri sang gadis ini sebenarnya sangat tidak selesa apabila menjadi perhatian.
Baginya, cukuplah dia dengan kesederhanaannya itu.
“Seterusnya, saudara Zakuan Bin Ramli dengan PNGKnya
4.00”
“Dipersilakan pula, saudara Fauzul Adzim dengan
PNGKnya 3.89”
Mereka itulah rakan-rakan sekuliah Khairani. Kejayaan mereka sangat membanggakan kerana
bidang Pengajian Islam di kolej itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibawa.
Kebanyakan pelajar akan menarik diri sebelum menghabiskan semester pertama
lagi, kerana semua subjek diajar dalam bahasa Arab. Malahan kitab-kitab yang
digunakan juga diimport dari negara-negara Timur Tengah seperti Jordan, Mesir,
Damsyik dan banyak lagi.
Khairani mengambil semula tempat duduknya. Dilihat
masih ramai rakan sepengajian yang berlainan bidang dengannya sedang menunggu
giliran naik menerima anugerah. Hatinya berbisik syukur kerana masih ramai yang
mendapat anugerah dekan walaupun syarat anugerah telah dinaikkan kepada 3.70 ke
atas.
“Assalamualaikum..Abah apa khabar? Ani dah dapat
keputusan percubaan SPM bah...” Dengan tenang dan sopan, Khairani bersuara di corong telefon.
Dimasukkan lagi seketul syiling 50sen ke mulut telefon
awam itu.
“Wa’alaikumusalam wbt.Ye..dapat berapa ani?” Nada suara abah Khairani ibarat tidak
sabar. Pertanyaan khabarnya juga langsung tidak dijawab.
“Ani dapat 6A…3B..dan lagi satu…”
“Lagi satu..?” Nada abah Khairani lembut namun kata-kata itu bagai
mendesak Khairani menjawab dengan segera.
“Lagi satu..Add Math Ani dapat..D bah…”
“laaa gagal Ani.”
Khairani diam seribu bahasa. Matanya mula berkaca.
Ditahan kuat. Tidak sanggup membiarkan tumpah.
“eh, eh Ani jangan menangis. Nah cakap dengan ibu ni.” Abah Khairani memujuk lembut. Dia bagai
dapat membaca reaksi anaknya, walaupun sekadar berbual di corong telefon tanpa
bertentang empat mata. Segera diserahkan ganggang telefon kepada ibu Khairani.
“Ani…takpe Ani Ibu faham. Add Math tu memang
susahkan.” Ibunya pula
memujuk. Khairani tidak lagi dapat menahan keperitan hatinya itu. Dia rasa
bersalah kerana telah mengecewakan kedua ibu bapanya. Linangan air mata mula
bercucuran membasahi pipi Khairani.
“Maafkan Ani bu…”
Khairani melangkah lesu ke dorm. Bilik yang memuatkan
16 orang pelajar perempuan itu riuh dengan senda gurau rakan-rakan sebiliknya.
Namun, Khairani tetap tidak mampu untuk mengukir senyum. Hatinya masih pilu mengenangkan
ibu bapanya di kampung. Dia memanjat tangga katil double dackernya dan terus melabuhkan tubuh. Lantas ditenung
kipas dinding yang ligat berputar. Khairani menutup wajahnya dengan bantal.
Gelap.
Selama ini dia sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang
di dalam setiap peperiksaan. Malah namanya sentiasa menjadi sebutan guru-guru
di sekolah. Masakan tidak, setiap tahun anugerah kecemerlangan sering licin
dibolotnya. Khairani jauh meninggalkan rakan-rakan sekelasnya yang lain.
Kadang-kadang, timbul juga rasa riak di hati. Tetapi, apa yang paling menyayatkan,
gadis yang pintar ini jarang menyembah sujud di tikar sembahyang. Al Quran pula
telah lama lupus dari lisannya.
“Allah..” tiba-tiba nama agung itu melintas di bibir Khairani. Hatinya sayu. Dia
sedar apa yang telah dilalaikannya selama ini.
“Astaghfirullah, ampuni aku ya Allah….”
Khairani bergegas menyarung sandle dan berlari anak
menuju ke masjid sekolah. Di situlah warga Sekolah Berasrama Penuh Integrasi
Rawang dan masyarakat sekitar Bandar Tasik Puteri berkumpul setiap minggu untuk
menunaikan Solat Jumaat. Hatinya bagai terpanggil-panggil nama agung sang
PENCIPTA nya, Allah, Allah... Relung hati gadis ini sayu. Rindu. Dan gadis ini
juga tahu, tiada lagi tempat yang lebih mengingatkan dia kepada TUHAN melainkan
di rumah-NYA.
Diputar kepala paip. Lengan baju disenseng. Air
membasahi anggota wuduk Khairani. Sejuk, segar. Hati Khairani mula merasai
ketenangan. Air itu bukan sahaja membasuh anggotanya malah air wudhuk tersebut
bagai menyusup ke hati mencuci karat-karat yang menghitam selama ini.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam bersabda: Apabila seseorang muslim berwudhu’ maka akan keluar
dosa-dosanya dari pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan dari
kedua kakinya. Apabila ia duduk menanti solat, ia duduk dalam keampunan
(diampunkan) dosa-dosanya”. (H/R. Ahmad)
|
“Allah…huakbar..”
Suasana masjid di waktu petang seperti itu
sepi…kelihatan kelibat seorang gadis lengkap bertelekung sedang khusyuk tunduk
mengadap Rabb nya.
Usai membaca al-fatihah dan surah al-kafirun, Khairani
sekali lagi takbir untuk rukuk. Dibengkokkan tubuhnya 90° mengadap
kiblat. Terasa urat-urat di belakang lututnya seperti tertarik-tarik. Lenguh.
Khairani menahan pedih. Dia cuba melentur semula sendi-sendinya yang telah lama
tidak tunduk mengadap ILLAHI. Air matanya berlinang mengenang semula
kesombongannya terhadap TUHAN selama ini.
“Assalamualaikum warahmatullah...” Selesai memberi salam kedua, Khairani
membawa ekor matanya merenung keindahan hiasan masjid. Cahaya yang menembusi
hiasan kristal yang berwarna-warni di syiling masjid cukup indah dan
menawan. Hatinya tenang, tidak secelaru
tadi. Bunga-bunga ketenangan mula berputik. Ketenangan yang selama ini
didambakan oleh setiap hamba seperti Khairani. Kesibukan mengejar kecemerlangan
dunia ditambah dengan beban sebagai pelajar aliran sains tulen sekolah yang
berkaliber ini. Benar-benar membuat Khairani penat dan lelah. Gadis remaja
berusia 17 tahun ini mula sedar, makin dikejar dunia, makin bercelaru
langkahnya. Makin kucar-kacir hatinya. Makin jauh ketenangan terbang
meninggalkannya.
Dicapai sebuah tafsir al-Quran yang tersusun rapi di
rak kecil masjid. Kemudian Khairani memandang sekeliling mencari tempat yang
sesuai untuk bertadabbur. Lantas kawasan teduh di bawah pokok kayu yang rimbun
menjadi pilihannya. Angin lembut membelai-belai pipinya yang sawo matang.
Khairani bersila lalu mula membuka tafsir al-Quran berkulit biru itu.Tangannya
menyelak-nyelak tafsir itu secara rawak. Tiba-tiba tangannya terhenti di
halaman 577..
“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha
Penyayang.
AKU bersumpah dengan hari kiamat.
Dan AKU bersumpah demi jiwa yang selalu
menyesali (dirinya sendiri)
Apakah manusia mengira bahawa KAMI tidak
akan mengumpul kembali tulang-belulangnya..?”
Khairani
tersentap. Persoalan itu bagai tertuju buat dirinya.
“Bahkan KAMI mampu menyusun (kembali)
jari-jemarinya dengan sempurna.
Tetapi manusia hendak membuat maksiat
terus-menerus.”
Khairani
tertunduk. Dadanya mula berombak. Gadis itu meneruskan pembacaannya.
Sehinggalah tiba di ayat…
“Tidak! Bahkan kamu mencintai kehidupan
dunia, dan mengabaikan kehidupan akhirat.”
Khairani
kembali tersentap. Matanya berkaca.
“Tidak! Apabila (nyawa) telah sampai
kekerongkong, dan dikatakan kepadanya, “siapa yang dapat menyembuhkan?”
Dan dia yakin bahawa itulah waktu
perpisahnya (dengan dunia),
dan bertaut betis (kiri) dengan betis
(kanan),
kepada TUHANmulah pada hari itu kamu
dihalau”
Khairani
menarik nafas panjang. Dadanya makin berombak. Ekor matanya tertuju ke potongan
ayat seterusnya.
“Kerana dia (dahulu) tidak mahu
membenarkan (Al-Quran dan Rasul) dan
tidak mahu melaksanakan solat,”
Terpaku mata Khairani di ayat itu. Jantungnya makin
berdenyut kencang. Secara tidak sedar, tangannya mengenggam keras tafsir itu.
Tidak lagi mampu untuk Khairani menahan air matanya dari tumpah. Bagaikan tidak
terdaya untuk dia meneruskan pembacaan. Di saat itu dia merasakan bagai
TUHAN benar-benar sedang berbicara
dengannya. Dia malu. Terbayang dirinya yang selama ini culas dalam melaksanakan
solat fardhu. Sungguh malas dan berat anggotanya untuk sujud kepada TUHAN.
Walaupun kewajipan itu sekadar 5 kali sehari dan tidak sampai 10 minit satu
waktu. Khairani segera mengekang air matanya yang mula laju menyimbah bumi.
“Tetapi justru dia mendustakan (Rasul) dan
berpaling (dari kebenaran),
kemudian dia pergi kepada keluarganya
dengan sombong.
Celakalah kamu! Maka celakalah!”
“Astaghfirullah…!” Khairani beristigfar panjang di
dalam hati. Dia terkejut dengan ayat yang menunjukkan kedahsyatan kemurkaan Allah SWT. Dia meneruskan
pembacaan…
“Sekali lagi celakalah kamu (manusia)! Maka
celakalah!
Apakah manusia mengira, dia akan dibiarkan
begitu saja (tanpa pertanggungjawaban)..?”
Bagaikan halilintar menyambar tubuh Khairani. Seluruh
anggotanya menggeletar ketakutan. Tangisannya makin kuat. Kedengaran bagai
bunyi desiran periuk yang sedang menggelegak. Bunyi itu semakin lama semakin
kuat kedengaran. Khairani menangis sambil merangkul kedua lututnya. Tubuhnya
tidak henti-henti menggeletar. Tiba-tiba, sebatang tubuh merapati Khairani lalu
memeluk gadis itu dari arah belakang.
“Khaira…kenapa ni.?”
Suara itu menyapa lembut. Khairani masih tidak mampu
menghentikan tangisannya. Suara itu cukup dikenalinya. Shazwin Hassan. Juga
pelajar di sekolah tersebut tetapi mengambil aliran sains agama. Dia pelajar
harapan sekolah. Masakan tidak, Shazwin bukan sahaja hebat dari segi akademik
malah dia juga hebat dalam kokurikulum terutamanya debat dan pidato. Hampir-hampir
Shazwin mewakili sekolah ke pertandingan pidato peringkat antarabangsa di PWTC
tetapi di hari pertandingan itu dia ditakdirkan mengidap demam campak.
“Khaira…janganlah macam ni. Awak buat saya risau tau.
Kenapa ni Khaira…?”
Shazwin menarik lembut tangan Khairani. Dia ingin
merungkai rangkulan tubuh Khairani dari lutut sahabat baiknya itu. Khairani
tetap tidak ingin melepaskan tangan. Dia terus merangkul lututnya sambil
menangis hiba. Shazwin mengusap kepala Khairani. Matanya turut berkaca. Hatinya
pilu melihat sahabatnya menangis seperti itu. Direnung temannya yang sedang
membisu seribu bahasa. Hatinya pedih. Shazwin meletakkan tangan kirinya di bahu
Khairani dan melempar pandangannya ke arah matahari yang makin menyorokkan
diri. Sunyi..Angin melambai lembut tudung labuh dua orang sahabat ini. Mereka
kekal dengan keadaan begitu sehinggalah matahari menghilangkan diri di balik
bukit.
Malam itu, setelah selesai solat Isyak di masjid,
Khairani dan Shazwin beriringan berdua berjalan menuju ke kelas. Prep di waktu
malam merupakan satu kewajipan bagi para pelajar SEPINTAR. Di waktu itulah para
pelajar menggunakan masa mereka untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh
guru-guru dan membuat ulangkaji. Ada juga segelintir pelajar yang menggunakan
masa itu untuk berborak-borak kosong dan bergurau senda sesama mereka.
Menghilangkan tension katanya. Masakan tidak, setiap hari pelajar-pelajar
tingkatan 5 ini diasak dengan beratus-ratus soalan peperiksaan SPM. Samada
soalan dari tahun-tahun yang sebelumnya ataupun soalan-soalan target dari
sekolah berasrama penuh lain.
Namun demi mencapai target kecemerlangan sekolah,
mereka gagahkan jua langkah di bumi SEPINTAR ini. Di tambah pula dengan para
pendidik yang sangat memahami para pelajarnya. Makin membuaklah rasa sayang
mereka kepada sekolah, dan pelajar-pelajar tingkatan 5 ini juga sedar bahawa
nama baik sekolah berada di pundak mereka.
Sedang Khairani leka menyiapkan soalan kertas 3 subjek
fizik, muncul kelibat Shazwin di hadapannya. Dua sahabat ini mengukir senyum di
bibir masing-masing.
“Mengantuklah Khaira..” gadis setinggi 5 kaki ini sanggup berjalan menapak ke
kelas sahabatnya itu walaupun kelas mereka berlainan tingkat. Begitulah
kebiasaannya di setiap kali kelas prep.
“Awak dah siap ke soalan Cikgu Zairien ni..? Esok kena
hantar tau.” Khaira menaikkan keningnya. Ditatap wajah
sahabat baiknya yang berbentuk bujur itu. Cukup ayu. Dibaluti tudung labuh
berwarna merah jambu muda.
“Saya dah siapkan dah petang tadi. Sedang ambil angin
tiba-tiba dengar suara orang merengek-rengek bawah pokok. Ingatkan jelmaan
apalah petang-petang tu.”
Shazwin menguntum senyum. Manis mukanya. Khairani tertunduk malu. Shazwin
menunggu-nunggu sahabatnya itu menceritakan apa yang berlaku. Namun hampa.
Khairani tetap diam. Tangannya kembali menulis jawapan fizik tadi.
“Khaira..! saya ada satu lagu nak bagi awak
dengar tau.” Shazwin
menepuk meja. Khairani terkejut. Shazwin mencapai tangan sahabatnya itu lantas
duduk menyangkung di tepi kerusi kayu Khairani. Shazwin menggengam erat tangan
lembut sahabatnya itu.
“Dengar ya sahabat. Saya nyanyikan lagu ni khusus buat
khaira..” kedua-duanya
menguntum senyum. Hubungan mereka nampak sangat rapat. Tangan Khairani terus di
gengam erat.Shazwin menutup matanya lalu dengan penuh penghayatan, gadis itu
mula menyanyi….
Menyingkap tirai hati
Mengintai keampunan
Di halaman subur, rahmat MU TUHAN
Tiap jejak yang bertapak
Debu kejahilan
Akan ku jirus dengan madu KEIMANAN
Tak ternilai air mata dengan permata
Yang bisa memadamkan api neraka
Andai benar mengalir dari nasuha nurani
Takkan berpaling pada palsu duniawi
Destinasi cinta yang ku cari
Sebenarnya terlalu hampir
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati
Telah ku redah daerah cinta
Yang lahir dari wadah yang alpa
Tiada tenang ku temui hanya kecewa
menyelubungi
Gelintar segenap maya
Dambakan sebutir hakikat
Untuk ku semai menjadi sepohon makrifat
Moga dapat ku berteduh di rendang kasih MU
Namun ranjaunya tidak akan sunyi
Selagi denyut nadi belum berhenti
Durjana syaitan kan cuba menodai
Segumpal darah
Bernama hati
Lestarikan wadi kalbu ku oh TUHAN ku
Leraikan aku dari pautan nafsu
Biarpun sukar bagi ku melamar redha MU
Namun masih ku mengharap ampunan MU
Wahai TUHAN ku…ya ALLAH…
“sedap ta…” belum sempat Shazwin menghabiskan ayatnya, dia terkelu
melihat butir-butir jernih membasahi pipi Khairani. Shazwin tersentap. Lantas
dia memeluk erat tubuh sahabat baiknya itu. Air mata turut tumpah dari takungan
mata sang gadis itu.
“Awin…sa..saya nak jadi ba..baik macam awak. Awak..ajar
saya boleh..?” Tersedu
sedan Khaira bersuara.
“Khaira, janganlah macam ini. Kita sama-sama berubah
jadi lebih baik ye. Lebih baik di mata ALLAH.”
“Lebih baik di mata ALLAH..?” Khairani mengerutkan dahi. Pipinya masih
basah dengan air mata.
“Ya, menjadi insan yang lebih baik dan lebih hebat di
mata Allah..!” Lantang
Shazwin bersuara. Dia mahu sahabat yang disayanginya itu bangun. Bangun dari
kegagalan. Orang yang hebat bukanlah mereka yang tidak pernah melakukan
kesilapan, tetapi hakikatnya mereka yang hebat adalah orang yang pernah
tersilap langkah namun kembali bangkit memperbaiki diri. Lantas terus maju
menuju sinar kejayaan yang pasti.
Selama ini Khairani tidak pernah terfikir untuk
menjadi insan yang hebat di mata ALLAH SWT. Apa yang dia tahu, belajar
bersungguh-sungguh, dapat anugerah dan seterusnya hati berbunga-bunga apabila
menjadi sebutan di sekolah. Apa yang ada dengan pandangan ALLAH..? Mengapa
insan sehebat Shazwin lebih mengutamakan pandangan ALLAH SWT daripada pandangan
manusia..? Hari ini Khairani belajar sesuatu yang baru dalam kamus hidupnya.
Pandangan ALLAH…
………………………………………….
Hayatilah
ayat-ayat cinta ALLAH SWT ini wahai sahabatku sayang:
“Jangan kamu berputus asa daripada pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat (atau pertolongan) Allah melainkan orang-orang kafir”
(Surah Yusuf: Ayat 87).
|
Sekeping kad berwarna merah hati bercorak bunga mawar
tertampal indah di pintu loker Khairani. Hatinya tersenyum gembira. Terpancar
kebahagiaan di wajahnya. Tidak syak lagi, mesti kad itu hasil buatan tangan
sahabat baiknya, Shazwin. Gadis yang berasal dari Subang itu bukan sahaja mahir
berpidato dan debat, malah dia kreatif membuat kraf tangan dan dia juga sangat
suka menyanyi. Ramai yang sayang padanya. Khairani tidak pernah melihat Shazwin
meninggalkan solat malam setiap kali Khairani menumpang tidur di biliknya. Rasa
kagum terhadap sahabatnya itu makin menebal. Bijaknya Shazwin menyeimbangkan
urusan dunia dan akhirat.
“Kalau kita jaga hak ALLAH, ALLAH akan jaga hak kita.”
Kata-kata sahabatnya itu sering berbisik di hati kecil
Khairani. Khairani bertekad mahu berubah. Dia rasa menyesal jika dia tidak
dapat berubah sedangkan kini dia sedang berada dalam lingkungan manusia-manusia
yang soleh solehah. Dia juga pelik bagaimana ALLAH SWT boleh mencampakkan
dirinya ke sekolah agama seperti itu. Sedangkan dia tidak mengambil subjek arab
dalam peperiksaan PMR nya yang lalu. Itulah pencaturan ALLAH SWT. Dan yang
pasti, hidupnya benar-benar berubah sejak menuntut di sekolah itu bermula dari
tingkatan 4 sehingga kini.
Minggu itu merupakan minggu balik bermalam. Setiap dua
minggu, pihak asrama akan memberi peluang kepada para pelajar SEPINTAR untuk
pulang ke rumah. Beg pakaian Khairani penuh diisi dengan buku rujukan dan latih
tubi. Banyak kerja sekolah yang perlu disiapkan. Hatinya melonjak gembira. Dia
tidak sabar untuk bertemu abah dan ibunya di kampung. Setelah siap berkemas,
Khairani terus menyarung baju batik sekolah berwarna merah hati. Sungguh ayu. Ditambah
pula dengan tudung labuh berwarna putih. Khairani membetul-betulkan tudungnya
di hadapan cermin dorm.
“Ya Allah, telah ENGKAU cantikkan zahirku, maka
cantikkanlah pula akhlak ku ya Allah..” Khairani tidak lupa untuk memanjatkan doa ketika
melihat cermin. Sunnah nabi. Khairani tidak mahu luarannya tampak solehah namun
dalamannya hancur. Dia mahu menjadi yang hebat dan baik di mata ALLAH SWT.
…………………………………..
“Ani…” terdengar suara garau abah Khairani memanggil dari ruang tamu.
“Ya bah, Ani ada di bilik ni.” Khairani pantas menyahut panggilan
abahnya.
“Ani buat apa dalam bilik ni..? dari pagi abah tengok
Ani terperuk je dalam bilik..?” Pak Ahmad menyelak daun pintu bilik anak gadisnya itu. Kelihatan
Khairani sedang tekun membuat kerja sekolah di atas katil sambil duduk bersila.
Pak Ahmad melangkah menuju sisi katil Khairani.
“tak buat apa pun bah…Ni Ani buat latih tubi sikit.” Khairani menunjukkan buku kerja yang
sedang disiapkannya. Halaman itu penuh dengan angka dan formula matematik.
“baguslah tu. Abah nak keluar ni. Nah ambil duit
belanja kamu. Takut tak sempat abah nak bagi kamu balik asrama nanti.” Pak Ahmad menghulurkan sekeping wang
kertas bernilai RM50 kepada anaknya. Lantas Khairani menyalam dan mencium
tangan abahnya itu. Kemudian Khairani menyambung semula kerja dengan
menekan-nekan butang kalkulator sainstifiknya. Pak Ahmad masih belum berganjak
dari sisi katil anaknya itu. Dia merenung Khairani. Hatinya tiba-tiba berbisik
simpati. Lantas tangannya menarik buku latih tubi itu kemudian terus
menutupnya. Khairani mendongak keatas memandang tepat wajah tua abahnya itu.
Dia kehairanan. Lantas Pak Ahmad bersuara,
“Ani…Abah tak kisah anak abah dapat berapa dalam
peperiksaan. Abah betul tak kisah. Yang penting abah tahu anak abah dah buat yang
terbaik. Kalau Ani tak boleh bawa subjek Add Math tu takpe, buat aje lah apa
yang Ani mampu. Abah percaya pada anak-anak abah.” Pak Ahmad menyuntik kata-kata semangat buat anak ke-3
nya itu. Dia tahu, Khairani pasti tertekan mengenangkan peperiksaan besar SPM
yang hanya tinggal dua bulan sahaja lagi.
Khairani terdiam. Fikirannya melayang. Dia cukup
tersentuh dengan kata-kata abahnya itu. Kini semangatnya untuk terus berusaha
semakin membara. Dia bertambah yakin pada dirinya. Dia tahu dia mampu, hanya perlu
membaiki kesilapannya yang lalu dan mengoptimumkan usahanya pada saat ini. Dan
yang paling penting, meletakkan ALLAH yang nombor satu. InsyaAllah kejayaan
pasti menjadi miliknya.
“Terima kasih abah…”
“Terima kasih ya ALLAH…”
…………………………………………….
“Kak,.. Ani takutlah nak ambil result. Esok-esok jelah
kita ambil”
“Eh, apa kau cakap ni Ani..! Semua orang excited nak
ambil result, kau pula takut-takut. Exam dah lama habis, sekarang ambil kertas
result je pun. Aduyai, itu pun nak takut. Apalah engkau ni..”
Kakak sulung Ani membentak.
Lantas dipakai tali pinggang keledar ke tubuhnya.
Kemudian kereta Produa Kembara berwarna kelabu itu terus memecut laju.
Sudah lebih 3 bulan Khairani meninggalkan laman
sekolah. Cuti yang agak panjang membuatkan bibit-bibit rindu lahir di benak
gadis itu. Terbayang wajah-wajah rakan seperjuangan sewaktu peperiksaan SPM
yang lalu. Kenangan manis dan pahit sepanjang menuntut ilmu di situ menambahkan
kematangan pada diri Khairani.
Dia masih ingat bagaimana dia dan rakan-rakan
berhempas pulas membuat latih tubi pada sebulan sebelum peperiksaan sebenar.
Juga masih segar dalam ingatan Khairani, kesungguhan rakan-rakannya yang
mengambil aliran sains agama. Dia kagum melihat mereka. Masakan tidak, Khairani
hanya perlu memberi fokus pada 10 subjek sahaja, sedangkan mereka perlu fokus
pada 12 subjek. Lebih menakutkan, subjek yang mereka pelajari dalam bahasa
Arab. Al Quran Sunnah, Bahasa Arab Tinggi… Allah memang hebatlah mereka ini.
“Aku yang 10 subjek ni pun terkontang-kanting. Allah,
agaknya macam manalah Add Math aku ni…”
Khairani sendiri melayan perasaan. Bayangan Ustazah
Ayuni hadir dalam lamunannya. Guru subjek matematik tambahannya itu cukup
terkenal dengan sifat keibuan.
“Ustazah, tolonglah saya ustazah. Lagi satu markah je
untuk kertas add math saya ni lulus. Tolonglah ustazah..” Khairani membuat memek muka simpati di
hadapan Ustazah Ayuni. Ustazah kesayangan semua pelajar di sekolah berasrama
itu.
“Khairani… Saya bukan tidak mahu menolong kamu. Kamu
memang pelajar yang baik dan rajin. Tapi jika saya tambah markah kamu
sekarang,ia tidak adil bagi kawan-kawan kamu yang lain. Mungkin peperiksaan
percubaan ini bukan rezeki kamu. Jadikan kegagalan kamu ini sebagai pembakar
semangat untuk kamu lakukan yang lebih baik pada peperiksaan sebenar SPM nanti.
Berusaha dan berdoalah pada ALLAH SWT.Ustazah yakin kamu mampu Khairani.”
Lembut tetapi tegas ingatan dari Ustazah Ayuni. Dia
tidak mahu anak didiknya sekadar cemerlang dalam akademik tetapi yang lebih
penting adalah cemerlang urusan akhiratnya.
Begitulah kelainan yang ada pada para pendidik di bumi
SEPINTAR. Mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu malah mereka mendidik dan
mentarbiyah diri setiap pelajar mereka. Mereka tidak mahu anak didik mereka
sekadar mengenal blood plasma, Charles Law, Boyse Law, infinti dan sebagainya,
tetapi mereka ingin anak didik mereka itu kenal kepada KUASA AGUNG yang
menciptakan sekalian alam ini. Para pendidik ini mahu mereka tahu asal dan
tujuan penciptaan mereka di bumi ALLAH SWT. Khairani memanjatkan rasa syukur
yang tidak terhingga kepada ALLAH SWT kerana telah mencampakkan dirinya yang
selama ini jahil tentang agama ke bumi tarbiyah, bumi SEPINTAR.
“Khaira..! Saya dapat 12A1..!” Shazwin menerpa ke arah sahabat baiknya
itu. Dipeluk erat tubuh Khairani. Mereka melonjak gembira.
“Alhamdulillah..! Tahniah Win! Tahniah!”
“Khaira..?”
“Saya belum ambil result lagi.”
“Cepatlah pergi ambil. Jom saya temankan.” Shazwin menarik tangan Khairani. Mereka
berlari anak menuju ke arah kaunter pejabat.
“Malu la Win.. mesti tak sehebat awak.” Khairani tunduk. Perlahan dia berbisik di
sebelah Shazwin.
“Isyh awak ni. Yang penting usaha. ALLAH SWT tak
pandang hasil, DIA pandang usaha kita. Kan sahabat..?” pandai Shazwin menyusun kata. Mereka saling
berpandangan dan menguntum senyum. Tangan mereka tetap erat berpegangan.
“SubhanAllah, tahniah Khaira..! Hebatnya awak dapat
straight A1 juga.”
Shazwin tidak mampu menahan diri dari berteriak
gembira.
Khairani meletakkan kertas keputusannya di atas kaunter
pejabat lantas meluruhkan segala sendinya sujud menyembah bumi. Dahinya ditekan
ke lantai. Sejuk. Hati gadis ini sayu. Tiada apa yang dapat dilafazkan selain
kalimah syukur kepada ILLAHI dan sujud syukur sebagai bukti penghambaan insan
pada TUHANnya yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Butir-butir jernih air
mata kegembiraan mula mengalir di pipi dua sahabat ini. Tiba-tiba terlintas
sepotong ayat suci al Quran di fikiran Khairani…
“Barang siapa bertakwa kepada ALLAH
nescaya DIA akan membukakan jalan keluar
baginya.
Dan DIA memberi rezeki dari arah yang tidak
disangka-sangka.
Dan barang siapa bertawakal kepada ALLAH,
nescaya ALLAH mencukupkan keperluannya.”
(Al Baqarah: 2-3)
Sungguh benar janji MU itu ya ALLAH..
Terima kasih
ya ALLAH…Terima kasih…
Telah ku
temu Destinasi Cinta ku..
*ini sebenarnya bab1 dari novel yang konon-kononnya nak di buat. Hakikatnya belum pandai nak buat dan masih banyak dan banyak dan banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki. Doakan semoga tulisan ini mampu menjadi inspirasi kepada insan yang mencari DESTINASI CINTA nya yang sebenar. Dan semoga jadilah novel yang complete satu hari nanti. Ameenn ya Rabb..Wallahua'lam.
JOM MENULIS UNTUK UMMAH..!!
Salam sekencang tarbiyah,
Semantap dakwah.
Semantap dakwah.
mantop! mabrouk 3alaiki ukhti... barakallahufik :')
ReplyDelete