Tuesday, 8 July 2014

Mengapa Perlu Lelaki Sebagai Ketua Keluarga?

“Ibu, saya tak tahu nak gambarkan perasaan itu bagaimana. Yang saya tahu, saya rasa ingin berkongsi kisah gembira, sedih, cita-cita dan semua harapan saya bersama gadis itu buat selamanya”




Persoalan yang sangat mudah. Mengapa perlunya lelaki sebagai ketua keluarga? Namun akan wujud pula soalan-soalan seterusnya, mengapa lelaki diutamakan menjadi ketua Negara, mengapa hakim mahkamah lebih ramai lelaki, mengapa saksi wanita perlu dua, mengapa wanita tidak boleh menjadi wali nikah, imam solat dan sebagainya. Rentetan persoalan-persoalan tersebut akan membawa kita kepada suatu hakikat bahawa wujudnya gerakan wanita muslim yang menuntut hak persamaan mutlak di antara lelaki dan wanita. Laungan wanita muslim menuntut pembebasan juga hak kesamarataan semakin membimbangkan. Adakah benar syariat Islam menindas wanita? Atau laungan-laungan tersebut hanyalah ikutan dari ideologi gerakan wanita Barat yang telah tertindas dalam sistem hidup mereka sejak berabad dulu.


Gerakan wanita merupakan salah satu senjata Barat untuk melemahkan Islam zaman ini. Pembongkaran strategi Barat melalui rancangan membina jaringan muslim moderate seluruh dunia telah diketahui umum. Laungan-laungan kosong gerakan wanita muslim dalam menuntut hak persamaan dalam tugas-tugas hidup dan segala tindak-tanduknya merupakan satu tuntutan yang tidak mungkin dapat dipraktikkan. Walaupun seluruh wanita di dunia menuntut demikian, walaupun mereka mengadakan berbagai kongres dan membuat resolusi-resolusi yang tegas. Hal ini kerana, Islam telah memberi hak yang sama baik kepada kaum lelaki dan wanita. Namun isunya mengenai perbuatan keji atas nama agama (insyaAllah akan dibincangkan dalam penulisan yang lain) yang akhirnya menindas kaum wanita muslim digunakan sebagai hujah untuk menolak dasar-dasar Islam dan meletakkan islam sebagai sistem kuno dan tidak relevan masa kini.  Liciknya agenda Barat dalam melemahkan kaum muslimin dan memusnahkan harapan kita untuk membina semula tamadun Islam yang unggul.


Perkahwinan merupakan merupakan akad suci yang bukan sahaja mengikat dua jiwa malah pengisytiharan buat sekalian alam dan seisinya akan terbinanya institusi manusia. Keluarga ibarat salah satu bata kecil yang menyatukan masyarakat. Di dalamnya terdapat individu yang bakal menjadi asset kepada pembangunan tamadun manusia. Sebab itu Islam sangat mementingkan pembentukan keluarga juga tarbiyatul aulad kerana sesebuah tamadun manusia yang hebat semestinya bermula dari pacuan madrasah pertama manusia iaitu keluarga.

        
        Perkahwinan juga merupakan perkongsian hidup. Persefahaman jiwa yang lahir dari sifat saling menyintai juga perasaan cinta yang mengikat antara dua hati itu amat perlu demi meneruskan perkongsian hidup antara suami dan isteri. Namun begitu, satu undang-undang umum adalah perlu dalam mengatur perkahwinan tersebut. Mengapa?

         Kerana saya bersetuju dengan pandangan Muhammad Qutb di mana beliau mengatakan bahawa “perkahwinan sebahagian besarnya adalah masalah peribadi. Ia adalah sama seperti ikatan-ikatan yang lain yang berlansung di antara dua manusia yang mana pada pokoknya adalah bergantung kepada sifat-sifat peribadi, keadaan-keadaan jiwa dan akal fikiran, juga keadaan-keadaan rupa paras, tubuh badan dua pihak yang berkenaan itu.”

Maksudnya, seandainya kita mendapati keadaan hubungan suami isteri itu begitu rukun dan damai, maka itu tidaklah semestinya kerana pasangan tersebut masing-masing pandai menjaga kewajipan terhadap satu sama lain. Kita juga sering mendengar sesetengah pasangan tidak dapat kembali kepada rumahtangga yang rukun dan damai melainkan setelah mereka bergaduh dengan sengit. Kerana itu apabila didapati suami isteri yang selalu bergaduh dan bertengkar maka bukanlah semestinya bermakna bahawa sebab-sebab pergaduhan itu ialah kerana si suami bersifat kasar dan si isteri selalu durhaka. Malah kita juga sering mendengar tentang suami isteri yang masing-masing merupakan manusia yang cukup baik, tetapi perasaan mereka tidak secocok antara satu sama lain. Walaupun kadang kedua-dua mereka begitu sedih menyesali nasib mereka yang tidak dapat hidup sefaham dan seia sekata, tetapi malangnya mereka tetap juga tidak dapat mencapai persefahaman.

      
     Oleh itu, satu undang-undang umum adalah perlu untuk mengaturkan perkahwinan tersebut. Islam sebagai satu sistem yang arif akan selok-belok hidup manusia. Semestinya Islam tidak akan membiarkan masalah perkahwinan yang sensitive itu tergantung tanpa peraturan khusus. Sekurang-kurangnya Islam telah mengariskan batas tertentu bagi suami isteri yang tidak seharusnya dilewati. Setelah itu terpulanglah kepada suami isteri tersebut menyesuaikan diri dalam batas peratuan itu. Semestinya dalam rumahtangga yang rukun dan damai tidak memerlukan kepada senjata undang-undang. Namun apabila berlaku perselisihan dan persengketaan antara suami isteri maka barulah kita mencari undang-undang untuk menuntut keadilan dan menyelesaikan perselisihan tersebut.



Relevenkah Islam meletakkan lelaki sebagai ketua keluarga?

Sesuatu yang pasti adalah, perkongsian rumahtangga antara lelaki dan wanita itu harus diserahkan kepada seorang ketua. Ketua tersebut yang akan mentadbir keluarga dan melindungi zuriat yang lahir dari perkongsian hidupnya itu. Seterusnya untuk memikul tanggungjawab-tangungjawab kekeluargaan yang lain. Tiada organisasi yang tidak memerlukan ketua. Tanpa ketua dalam sesebuah organisasi akan timbul kekacauan dan tidak teratur organisasi tersebut. Lantas semua orang yang terlibat akan mengalami kerugian.


Secara dasarnya terdapat 3 pilihan dalam mementukan siapa yang harus diserahkan kuasa dalam meneraju sesebuah keluarga atau rumahtangga. Pertama, diserahkan kepada lelaki. Kedua, diserahkan kepada wanita. Ketiga, diserahkan kepada perkongsian kuasa ketua iaitu antara suami dan isteri.


Semestinya kita terpaksa menolak pilihan yang ke-3. Kerana pengalaman-pengalaman hidup telah membuktikan bahawa satu urusan yang diketuai oleh dua orang ketua itu lebih membinasakan berbanding membiarkan urusan itu tanpa ketua. Al Quran juga telah membuktikan bahawa jika penciptaan langit dan bumi ini diketuai oleh dua Tuhan, semestinya akan akan rosak binasa alam ini kerana keinginan dan kemahuan adalah berlainan dan sudah tentu masing-masing akan berbangga dengan ciptaannya dan masing-masing akan berusaha untuk menewaskan antara satu sama lain. Kalau hal ini mugkin berlaku di antara tuhan-tuhan, kemungkinan lebih hebat kekacauan yang berlaku dalam kalangan kita manusia biasa.



Kini hanya tinggal pilihan pertama dan kedua buat kita. Sebelum kita membincangkan kedua-dua pilihan tersebut, eloklah terlebih dahulu kita bertanya. Manakah yang lebih layak untuk diberi tugas meminpin, fikiran atau sentimen? Jika jawapannya adalah fikiran dengan alasan bahawa fikiranlah yang dapat menguruskan pentadiran dengan teliti tanpa dipengaruhi sentimen-sentimen yang akan melencongkan manusia dari jalan yang lurus. Maka masalah kita sudah selesai kerana pilihan pertama merupakan pilihan yang tepat buat kita. Mengapa? Kerana kejadian lelaki lebih banyak dilengkapkan dengan kemampuan berfikir, kesanggupan berjuang, memikul akibat dan tanggungjawab dalam memegang tampuk pimpinan keluarga.




Benarkah wanita lebih sentimen dan lelaki lebih mantap dari sudut fikiran?

Beratus kajian telah dijalankan di seluruh dunia mengenai perbezaan yang ketara antara otak lelaki dan wanita. Ini merupakan salah satu bidang kajian yang amat saya minati terutamanya dalam menjawab hujah golongan feminis yang menuntut hak kesamarataan mutlak antara lelaki dan wanita. Para pakar neurologis telah mendapati bahawa bentuk interaksi antara neuron antara otak wanita dan otak lelaki adalah amat berbeza. Lelaki menggunakan bahagian depan dan belakang otak manakala wanita menggunakan bahagian kiri dan kanan otak. Hal ini menyebabkan wanita lebih mampu untuk membuat banyak pekerjaan dalam suatu masa (multitasking) berbanding lelaki yang lebih bersifat focus. Sebab itu wanita kebanyakkannya mampu untuk bercakap sambil mendengar dan itu sangat sukar bagi kebanyakkan lelaki. Namun, pada sesetengah masa dan individu perkara ini berbeza tetapi secara amnya ita boleh mengambil hasil kajian para neulogis ini sebagai dasar yang kuat mengapa Islam mengutamakan lelaki dalam mengetuai keluarga dan sebagainya.


“the female brain is wired to empathize and the male brain is characterized by its tendency to systemize. The male brain seeks to develop a set of logical rules that guide another person's behavior. When a man can't understand someone else's behavior through logic, he tends to become confused about how to proceed. Women, on the other hand, may be more empathetic because their brains' mirror neurons are more sensitive than men's. Mirror neurons cause us to imitate emotions and actions that we're exposed to. One theory is that women's mirror neurons allow them to more easily hone in on another person's emotional cues.” (Simon Baron)


Menurut pakar neurologis Simon Baron, wanita bersifat lebih empathy dan lelaki bersifat lebih systemize. Dan hal ini disokong oleh pakar biologi Professor Lewis Wolpert di mana beliau mengatakan bahawa empathy dan systemize ini adalah dua sifat yang dibawa secara genetik oleh lelaki dan wanita. Tegasnya lagi, tugas wanita secara biologinya yang akan mengandung, melahirkan, menyusui anak dan ini menjadi sebab kewujudan sifat empathy yang amat ketara pada wanita. Perasaan kasih mesra yang begitu halus dan sifat empathy merupakan keperluan sebagai ibu. Inilah ciri kejadian wanita yang membantu dalam melaksanakan tugas keibuannya dan matlamat kehidupan yang sememangnya sedemikian ditetapkan oleh Allah swt.



Kejadian lelaki pula lebih banyak memerlukan kepada ciri kekuatan fikiran dan intelektual. Sebab kekuatan fikiran lebih mampu mengatur tadbir dan membuat rancangan teliti sebelum dilaksanakan. Kekuatan fikiran juga tidak secepat sentiment dan empathy, kerana apa yang diharapkan dari fikiran itu bukanlah kepantasan bertindak tetapi tetelitian dan ketepatan dalam bertindak yang menghitung segala kemungkinan dan akibat. Juga ketelitian memilih cara yang terbaik untuk mencapai matlamat-matlamat yang dikehendaki. Samada menyusun politik pemerintahan, melancarkan peperangan, perdamaiana, aturan ekonomi yang mana urusan tersebut memerlukan fikiran yang mendalam dan perlu dihindari dari sentiment mahupun empathy yang berkobar. Kerana itu lelaki diletakkan pada tempat yang wajar untuk melaksanakan tugas yang cocok dengan kejadiannya.



Namun, apabila Islam menyerahkan tampuk pimpinan keluarga pada lelaki, ini bukanlah bermakna supaya lelaki itu bertindak sewenang-wenangnya terhadap isteri juga pentadbiran keluarga. Malah sebaliknya supaya dia berlaku adil dan mentadbir dengan garis yang telah ditetapkan islam. Pemimpin keluarga yang baik adalah yang tidak menafikan hak isteri dalam perundingan dan kerjasama. Malah pimpinan keluarga yang berjaya adalah yang berlandaskan sikap saling mengerti dan saling bertimbangrasa terhadap satu sama lain.



“Bergaullah dengan isteri-isterimu itu dengan baik” (surah an nisa: 19)

“Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya” (HR al Tirmizi)



Rasulullah saw telah menegaskan bahawa ukuran kebaikan seseorang lelaki itu adalah dengan cara layanannya terhadap isterinya. Ini adalah ukuran yang amat tepat kerana apabila seseorang lelaki itu memberi layanan yang buruk terhadap isterinya maka ini membuktikan bahawa jiwanya dihambat penyakit yang mengikis sifat-sifat baik pada suami tersebut.



     Sebagai penutup, kedudukan lelaki sebagai ketua keluarga merupakan suatu ketetapan yang sangat tuntas dari ajaran Islam. Terbukti islam merupakan cara hidup yang amat syumul dan tidak mengetepikan mana-mana ruang lingkup hidup penganutnya. Gerakan feminis muslim yang menuntut hak kesamarataan mutlak wanita merupakan laungan kosong yang bermodelkan gerakan wanita barat. Penyelewengan yang dilakukan oleh sesetengah individu atas nama islam (insyaAllah akan dibincang dalam penulisan lain) tidak boleh dijadikan hujah bahawa Islam merupan sistem hidup kuno yang tidak releven lagi zaman moden ini. 






Gerakan wanita muslim ini perlu diselamatkan dan dasar-dasar Islam yang sememangnya memberi hak yang sama baik antara wanita juga lelaki perlu di sebar luas dan di fahami falsafahnya. Agar gerakan wanita muslim ini tidak tertarik dengan hasutan musuh islam yang bertujuan mempamerkan Islam itu tidak releven dan melarikan kiblat wanita muslim ini kepada gaya hidup Barat yang jauh dari semangat aqidah dan syariat Illahi taala. Apalah yang kita harapkan lagi bilamana rosaknya fikrah wanita muslim? Mampukah lagi terwujud impian kita melihat tamadun Islam yang unggul untuk kembali? Sedangkan saff pertama pembentukan ummah sudah lumat musuh musnahkan.




Rujukan:

1)Muhammad Qutb, Salah Faham terhadap Islam.
2)Simon Baron, The Essential Difference: Men, Women and the Extreme Male Brain
3)Robin Llyod, Emotional Wiring Different in Men and Women, http://www.livescience.com/4085-emotional-wiring-men-women.html
4)Prof Lewis Wolpert on the physical and psychological differences between men and women. Are men and women really from different planets? http://www.youtube.com/watch?v=gWt6DW8I4Ao





Thursday, 15 May 2014

HARGA GURU AKHIR ZAMAN









Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi.
Itulah tema Hari Guru 2014 yang disambut meriah di seluruh tanah air hari ini. Mungkin hari ini para guru bergembira dengan majlis sambutan di sekolah masing-masing. Namun gelak tawa guru pada hari ini tidak mampu menyelindung suatu hakikat yang pahit. Hakikat bahawa menjadi guru dewasa ini bukanlah semudah yang disangka. Tugas menyampaikan ilmu sebagai seorang guru di samping asakan global, perlu menjadikan guru lebih inovatif. Inovatif dalam melahirkan modal insan berminda kelas pertama dan berpesonaliti unggul.

 


Bebanan tugas terkadang menyebabkan guru lari fokusnya dan tidak mampu menyerlah semasa menyampaikan ilmu dalam PDP. Malah lebih menakutkan jika bebanan guru menyebabkan generasi pendidik ini hilang fokus dalam mewujudkan integrasi ilmu umum dengan ilmu ukhrawi. Hasilnya proses pembelajaran di sekolah hanya akan melahirkan individu berfikrah duniawi semata dan berjiwa kosong akan tauhid, sahsiah dan akhlak.







Berapa ramai dari golongan guru akhir zaman ini yang telah menitiskan air mata akibat melihat kerosakan sahsiah anak didik mereka. Guru tidak sepatutnya disalahkan seratus-peratus dalam ketidak upayaan sistem pendidikan kita bagi melahirkan modal insan yang unggul. Kerana sejak berdekad-dekad yang lalu, hampir semua Negara islam mengamalkan system pendidikan yang berbentuk dualism. Dan inilah kesan penjajahan yang tidak kita sedari kerana ia lebih berbentuk serangan ideologi.



Di mana “wujud dua system pendidikan yang berbeza iaitu system pendidikan tradisional Islam dan system pendidikan modan. Sistem pendidikan tradisional lebih menumpukan perhatiannya terhadap ilmu-ilmu keagamaan semata-mata dengan mengabaikan ilmu-ilmu moden. Manakala system pendidikan moden hanya menitik beratkan ilmu-ilmu moden dengan mengabaikan ilmu-ilmu keagamaan” (Abdul Halim Ramli, dalam rencana tulisannya, Memecah Dualisme Hamoniskan Ilmu: Reformasi Sistem Pendidikan Menurut Perspektif Syeikh Mohamad Abduh dan Sayyid Ahmad Khan)



Secara ringkasnya, dualism dalam pendidikan ialah pengasingan di antara ilmu agama dengan ilmu selain agama. Ini adalah akibat daripada datangnya kuasa penjajah. Penjajahan Belanda di Indonesia, British di Malaysia dan Brunei. Di Indonesia misalnya, sehingga kini masih mengamalkan dualism dalam sistem pendidikan. Akibatnya pendidikan diurus dan ditadbir oleh dua kementerian. Kementerian Pendidikan mengurus dan mentadbir sekolah umum daripada tadika hingga peringkat universiti. Manakala Kementerian Agama pula mengelola dan mengurus sekolah agama seperti madrasah dan pesantren daripada tadika hingga peringkat universiti. Malah peruntukan dan perbelanjaan Kementerian Pendidikan jauh lebih besar jika dibanding dengan sekolah agama. Semestinya ini akan memberi impak yang besar kepada integrasi ilmu umum dan agama dalam masyarakat.



Persoalan besar menghantui kita kini adalah bolehkah para pelajar hari ini terbentuk akhlaknya dengan nilai-nilai yang baik dan murni seandainya pendidikan agama tidak diterapkan secara konsisten? Malah bebanan guru di sekolah juga terkadang menyebabkan generasi pendidik ini hilang fokus dalam mewujudkan integrasi ilmu umum dengan ilmu ukhrawi  Bayangkan impak yang besar kepada generasi pelapis tamadun manusia di Negara kita ini.



Sedangkan sejarah telah membuktikan bahawa ketamadunan islam telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuwan islam di zaman Bani Abbasiyah dan selepasnya, al Khindi, Ibnu Rusyd, al Burini, Al Khawarizmi, Ibnu Sina dan ramai lagi. Mereka  tidak hanya menumpukan pendidikan umum semata bahkan melaksanakan integrasi antara pendidikan agama dengan pendidikan umum.


Tidak dinafikan kemajuan sesebuah Negara banyak dibangunkan oleh unsur-unsur pendidikan umum samada dari segi ekonomi, sosial, budaya, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Namun, secara holistiknya kesan negatif akan lebih menjuarai apabila system dualism ini diamalkan dalam system pendidikan kita. 

Kerana golongan ilmuwan yang lahir dari dua system yang terpisah ini akan menyebabkan persaingan dalam keadaan bukan membina bahkan mungkin menjatuhkan sesama sendiri walaupun beragama islam. Inilah yang akan menyebabkan konflik pemikiran yang tidak selari malah bertentangan dengan ajaran Islam.



Para guru akhir zaman perlu sedar bahawa proses islamisasi perlu dalam asakan global kini. Sistem pendidikan dualisme merupakan satu bentuk penjajahan bagi melemahkan tamadun islam itu sendiri dan perlulah diganti dengan system pendidikan bersepadu. Di mana “seluruh proses pendidikan dan perkembangan ilmu tidak terpisah daripada tauhid, sama ada rohani, jasmani dan akli. Coraknya adalah bersepadu lantaran itu segala ilmu bersifat kudus dan sekaligus penglibatannya adalah ibadat bagi  manusia.” (Dr Abdul Halim Muhammad).


Jika proses penyampaian ilmu itu menolak unsur Rabbani. Hasilnya ilmu dan pendidikan menjadi sekular dan akan melahirkan para pelajar yang melihat faktor duniawi mengatasi segala-galanya. Akhirnya, rosaklah tamadun  manusia tersebut kerana kosong jiwanya dari tauhid, sahsiah dan akhlak.




Setinggi-tinggi penghargaan buat sekalian pendidik yang tidak pernah jemu dan sentiasa bersemangat mencurah bakti membangun tamadun bangsa ini. Moga gelaran ‘guru’ itu terus membuat kalian berasa izzah dan bangga setiap kali menitip di bibir anak didik, ibu bapa, masyarakat dan generasi akan datang. Kerana kehadiran kalian amat bermakna dalam membentuk gagasan berilmu harapan agama, bangsa dan negara. Mahalnya harga seorang guru akhir zaman. Syurga tertinggilah balasan setimpal buat kalian guru pendidik umat harapan.




                     



SELAMAT HARI GURU.
Guru Harapan Ummah.
Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi




Friday, 4 April 2014

Asalnya Kristian, kemudian PEMBINA, akhirnya Islam.

Mualaf ini, menambah keyakinan ku pada slogan
“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”







Malam yang damai.
Sedang aku lena tidur. Tiba-tiba terdengar sayup suara  membaca lafaz-lafaz dalam solat.


Ku intai sedikit katil di bawah.
Aku nampak si gadis itu sedang berbaring, mengadap laptopnya sambil memakai headfon dan mulutnya terkumat-kamit mengulang lafaz-lafaz dalam solat.
Matanya khusyuk menatap skrin yang sedang mengulang-ngulang video praktikal solat.


Terharu.
Amat terharu.
Melihat kesungguhan gadis yang baru kembali kepada islam itu.



Malam seterusnya...
Ingin bangun solat malam.
Tiba-tiba sudah ada kelibat yang solat di sebelah katil ku.
Ku lihat jam baru pukul 3 pagi.

Allah..dia..!!
Dia yang baru kembali kepada islam.

Air mata ku tahan dari tumpah.
Lantas ku bangkit dan qiamulail di ruang tamu.




Beberapa bulan selepas itu...

Aku kembali ke bumi tarbiyah tersebut.

Melihat buku-buku fikrah di atas meja gadis yang belum setahun bergelar muslim itu.





Allah..mata ku berkaca.....




Mengenang kembali bilamana dahulu aku selalu menyelak Bible bahasa Malaysia di bawah bantalnya.
Buku himpunan doa-doa penganut kristian di meja belajarnya.
Juga doa memohon perlindungan tuhan jesus di katilnya.
Allah….gadis ini.


Setahun kami tinggal sebumbung.
Bernaung dan bertugas di bawah empire mpp kolej.
Alhamdulillah aku dikurniakan rezki untuk melihat kisah penghijrahan gadis ini.

Yang asalnya kristian, kemudian PEMBINA, akhirnya islam….


Dan yang paling penting, dia meyakinkan aku dengan formula, Melayu Sepakat Islam Berdaulat.





Berada dalam rumah yang sama.
10 orang kami semuanya.
Masing-masing memegang jawatan di dalam majlis perwakilan pelajar.

Sembilan dari ahli rumah tersebut adalah akhawat ISMA, majoritinya memegang jawatan di dalam PEMBINA kolej UNITI.
Dan hanya seorang sahaja bukan muslim, dialah Ting Leh Ping.
Yang sekarang ini lebih dikenali dengan Alifah Ting Binti Abdullah.



Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB).
Tidak mengajar kami untuk mengetepikan dakwah pada bukan Islam.
Malah sebenarnya, kewujudan sekelompok muslim yang berwibawa dan memberi contoh yang baik, akhirnya dakwah islam itu amat mudah menyentuh hati-hati manusia khususnya yang belum islam.

Kami telah membuktikan keberkesanan slogan tersebut melalui kisah penghijrahan Alifah Ting Abdullah.




Saya secara peribadi amat terkejut bilamana menjadi antara individu yang dikatakan banyak mempengaruhi Alifah Ting untuk kembali kepada islam.
Seingat saya.
Setahun saya duduk di dalam rumah mpp tersebut, saya merupakan individu yang sangat sibuk dan sukar berada di rumah. 

Malah rasanya amat kurang masa yang saya peruntukkan untuk bersama dengan Alifah Ting sebelum beliau islam.
MPP bagi Eksekutif Kerohanian, Kebajikan dan Hal Ehwal Siswi.
Naib pengerusi PEMBINA Kolej UNITI.
Jawatan Kuasa Aktivisme Mahasiswa PEMBINA Negeri Sembilan.
Ahli Unit Kajian PEMBINA.
Tugas-tugas di atas sudah cukup memakan 24 jam seharian saya.


Cuma paling saya ingat adalah, kami pernah duduk berborak di tepi tasik sambil hujan renyai-renyai. Hampir dua jam kami ber’dating’ di situ. Malah seingat saya, bukan islam yang menjadi topik utama perbualan kami ketika itu. Alifah Ting yang lebih banyak bercerita mengenai kampung beliau di Sarawak, buaya, babi hutan dan kisah-kisah beliau di alam remaja.

Itu sahaja saya rasa.


...................................



Bila ditanyakan saudari Alifah Ting, mengapa beliau tertarik dengan islam.
Semestinya beliau akan menjawap,
 “ukhuwah”






Di rumah mpp kami,
Kami gelarkan ia rumah akhawat.
Kerana 9 daripada 10 ahli rumah tersebut adalah mereka yang intima dengan ISMA.



Sebelum jam 5 pagi,
rumah akan mula hidup dengan qiamulail.

Subuh akan solat Jemaah di ruang tamu.
Kemudian bacaan mathurat dan disambung dengan bacaan hadith serta tazkirah ringkas.

Jam 8 masing-masing bergegas ke kuliah.

Selalunya akhawat akan saling tolong sterika baju.
Terutamanya semasa musim peperiksaan.
Supaya akhawat yang ada paper pagi tersebut dapat fokus belajar.

Petang,
akhawat-akhawat yang balik rumah awal akan masakkan makan malam.
Kami tiada jadual memasak kerana program dan perjumpaan kadang tidak tentu.

Makan dalam talam.
Wajib suap-menyuap ^__^


Maghrib Jemaah di surau kolej.
Rumah mpm selalu tiada siapa di waktu maghrib kerana semua akan turun ke surau.
Di sana akan ada halaqah sehingga isya.
Selepas isya selalu jemaah surau akan datang ke rumah kami untuk sambung makan, taaruf dan borak.

Hujung minggu akhawat akan basuh baju berjemaah.
Semua baldi yang ada baju akan dibasuh.
Selalu saya balik program, semua dah siap berlipat dalam loker.


Bahasa mudahnya.
Di dalam rumah mpp, rumah yang kami gelar rumah akhawat tersebut.


Tiada perut yang lapar sendiri.

Tiada tangis yang hilang penghibur.

Tiada susah kecuali ada tangan menghulur




Kami pernah serumah makan nasi berkuahkan air kosong dan garam sahaja.
Tapi kami masih bersuap sesama sendiri berulamkan ketawa dan jenaka.
Allah….akhawat.



Ya dan itulah praktikal kami kepada slogan MELAYU SEPAKAT, ISLAM BERDAULAT.
Kami melayu muslim.
Yang sedar keperluan dakwah di bumi ini.

Yakin pengislahan dan pembaikan itu perlu bermula dari diri kami sendiri.

Dengan tarbiyah dan ukhuwah fillah ini, kami maju menyongsong bebanan dakwah.

Kami membentuk deligasi melayu muslim yang
kukuh imannya, 
mantap akhlaknya, 
hebat prestasi akademik 
dan sumbangan buat masyarakat.


Kami menjadikan diri kami duta kepada islam.
Kami menjadikan diri kami al Quran bergerak.

Itulah praktikal kami melalui slogan MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT.

Dan akhirnya dengan izin Allah swt, Alhamdulillah..Bukan sahaja mampu menarik jiwa-jiwa muslim malah jiwa non muslim juga tertarik kepada kemuliaan Islam.


.........................




Sehinggalah setelah hampir 8 bulan kami mengharungi pahit getir, tinggal dan bertugas bersama.
Akhirnya Ting leh Ping mengatakan hasrat untuk menjadi seorang muslim.
Tetapi tertangguh dalam beberapa minggu atas sebab kesibukan kami di dalam majlis pelajar.



Pada suatu hari,

“Saya nampak saya sedang diseksa. Rambut saya digantung. Dan mulut saya dituangkan dengan cecair panas , mengelegak dan berasap. Saya sangat menderita dan sakit dalam mimpi tu..”


Pagi rabu tersebut, Ting Leh Ping bertanyakan mengenai kisah wanita yang diseksa di akhirat kerana tidak menutup aurat. Terkejut mendengarkan mimpi yang beliau ceritakan. Katanya beliau terjaga dari mimpi ngeri tersebut  lalu melihat kami, akhawat sedang solat Jemaah subuh di ruang tamu. Pelik dengan mimpi itu. Terus beliau membuka laptop dan singgah ke muka buku.



Tiba-tiba ada seseorang telah tag beliau di sebuah post mengenai Rasulullah saw yang bercerita kepada Fatimah mengenai seksaan bagi wanita di akhirat. Kita dapat merasakan perasaan Ting Leh Ping ketika itu. Semestinya pelik dan bertambah terkejut bilamana mimpi beliau ada persamaan dengan hadith Rasulullah saw. 

Lebih pelik bilamana orang yang memberi post itu tiada nama.
Dan hanya terdapat symbol ***** pada fb beliau.



Pada tengah hari rabu itu, Ting Leh Ping membuka semula post tersebut tetapi sudah hilang.


Ya itu petanda dari Tuhan. 
Saya terus memujuknya untuk melapangkan masanya jumaat minggu tersebut untuk pergi bersama-sama ke Pusat Dakwah Paroi.
Alhamdulillah beliau dengan senang hati bersetuju.


Pada  hari khamis keesokannya, tiba-tiba Ting leh Ping mengatakan bahawa ingin menangguh pengislamannya. Saya pelik. Kerana saya tahu dia amat-amat ingin segera menjadi muslim setelah tertarik dengan keindahan islam itu sendiri.



Rupa-rupanya dia mengalami masalah kewangan. Tiada duit untuk mengambil gambar ukuran passport. Tiada duit tambang ke Pusat Dakwah. Tapi beliau tidak memberitahu kami  akan kesempitannya itu.


Terus malam itu kami menjalankan derma kilat. Dari surau juga pelajar pengajian islam. Alhamdulillah dari malam itu sahaja kami mendapat lebih dari RM300 buat membantu pengislaman saudara kami ini.





Pagi Jumaat barakah, 5hb April 2013.
Di Pusat Dakwah Paroi.
Saya menjadi saksi kepada pengislaman mujahidah ini.
Melihat beliau menyelak-nyelak buku nama-nama islam.
Akhirnya “Alifah” yang bermaksud pendamping, teman yang setia menjadi pilihan gadis ini.







“Saya, Alifah Ting Binti Abdullah 
bersaksi tiada tuhan melainkan Allah, 
dan Muhammad itu pesuruh Allah”





Tika itu…
Bukan kami sahaja yang menangis gembira.
Malah semua makhluk, di bumi dan di langit turut bersorak bangga menyebut nama mu wahai Alifah Ting Abdullah..



Beliau kini berada dalam unit kajian feminisme. Mohon bersama mendoakan agar lebih banyak jiwa-jiwa berharga seperti ini kita dapat lahirkan buat bumi Malaysia dan umat sedunia.





Asalnya Kristian, kemudian PEMBINA, akhirnya islam...
Sanah helwah ukhti Alifah Ting Abdullah.
Alhamdulillah genap setahun menjadi muslimah.
Moga terus istiqamah sehingga bertemu Allah swt di Jannah.



MELAYU SEPAKAT, ISLAM BERDAULAT

*video syahadah beliau: vid pengislaman Alifah Ting
*ikuti kisah pengislaman beliau di sini :klik

Tuesday, 25 March 2014

Selamat pulang Ikhwan...


Baru sahaja mendapat berita gembira dari bos unit kajian kami, tuan Aiman Faudzi. Mabrook buat bos yang akan mendirikan bait muslim qudwah insyaAllah. Tak sabar menunggu diri sendiri yang lagi beberapa……tet.

Abang aku bukan suparman kata takpa fikir lebih tentang bait muslim ni yang penting jangan mengedik. 
Hurmm nak hilangkan mood sedih sebenarnya……Allah…………………………


Mursyidul am Ikhwan Muslimin antara 529 penyokong Dr Morsi yang bakal dihukum mati





Menulis dengan jari yang terketar.
Dan mata yang sakit.
Hati yang pedih…

Ikhwan…
selamat pulang ikhwan..



Ya, aku tiada di waktu sang singa, Omar Mohtar dihukum bunuh.
Aku tiada di waktu  pemikir umat, Syed Qutb dihukum gantung.
Aku tiada semasa Al Banna ditembak mati.
Malah aku masih di alam jahiliah semasa kepala Syeikh Ahmad Yasin berkecai.
Juga tika Dr Abdul Aziz ar Rantisi ditembak apache..

Alhamdulillah tarbiyah ini mengenalkan aku dengan mereka. Dan mereka yang lain. Yang selama ini berjuang demi umat. Yang selama ini aku tidak tahu rupa-rupanya umat ini sedang….. TENAT.


Di usia 18 hingga 19.. aku tidur berbantalkan buku Majmuk Rasail, as syahid Hassan Al Banna.
Kitab tu memang sangat tebal.
Bagi aku, itulah kitab terbaik yang pernah aku baca selepas tafsir al Quran.

Aku tahu ikhwan pernah dianiaya sebelum ini. Pencaturan politik yang mungkin perlu dibaiki. Sekali lagi sejarah hitam itu berulang, termasuk Mursyidul am Ikhwan Mohd Badi’ juga antara 529 yang bakal dihukum mati. Sejarah Sayyid Qutb, Muhammad Farghali berulang kembali..!!



“Mereka (529 penyokong Ikhwan) dituduh menyerang orang ramai dan memusnahkan harta awam di selatan Mesir pada Ogos lalu….turut didakwa melakukan keganasan yang menyebabkan dua anggota polis maut di Minya.” 
[Utusan Malaysia, 25 Mac 2014]





Sangat tidak masuk akal..!!
Bagaimana pula dengan  pihak polis, tentera dan rejim haram Mesir ini bertanggungjawab membunuh lebih 8,000 rakyat Mesir di Dataran Rabiah yang berhimpun secara aman menuntut hak demokrasi mereka??!!

Allahu Rabbi...
Tidak semua keadilan terbalas di dunia.



Aku selalu bercita-cita untuk duduk bercanda di taman Firdausi bersama, syeikh Ahmad Yasin, Dr Abdul Aziz ar Rantisi, Zainab Al Ghazali, Sayyid Qutb, Omar Mokhtar dan beribu lagi mujahid mujahidah yang telah menunai janji pada Illahi… Termasuklah kekasih Allah, Rasulullah saw pejuang teragung umat ini.


Ku siapkan post ini tika mana laporan kajian mengenai serangan feminism di dalam IPT Malaysia ku masih belum siap. Hampir 3 hari aku melanggar due date. Bukan tidak mahu menyiapkan, tetapi makin ku kaji, makin banyak bukti ku jumpa, makin ku sedar yang golongan feminis, mahupun liberal makin galak menganjurkan program di dalam IPT di Malaysia. 

Tinggal aku sahaja yang tidak peka akan itu. Ya kamu juga di IPT tidak peka akan kehadiran sesumpah jahiliah yang merosak fahaman mahasiswa kita.
Masihkah lagi kita sibuk dengan wechat yang lagha?
Wassap yang merepek.
Bacaan yang tidak membina.
Perbualan-perbualan kosong.
Malam yang penuh dengan lena.


Arghhhh….
Di sana kau bunuh singa kami, di sini kau rosakkan pejuang harapan islam.





529
selamat pulang ikhwan...


Wahai pejuang ummah…tariklah nafas yang baru.  Perubahan itu di tangan mu.
Kita mulakanlah dengan lima yang mudah ini.


5 Pesanan Syeikh Ahmad Yasin kepada Pemuda dan Pemudi

1) Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.



2) Aku menyeru kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.



3) Wahai para pemuda, aku ingin kalian menyedari dan menghayati makna tanggung jawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kalian untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kalian. Aku menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.Aku ingin kalian tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.



4) Wahai puteriku, aku ingin kalian berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kalian berjanji kepada ALLAH bahawa kalian akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.Kepada semua, aku ingin kalian bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik. Latihlah diri kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.



5) Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. carilah sebab-sebabnya dan tawakal kepada ALLAH.







Tak perlu menjadi ahli unit kajian seperti kami baru ingin cakna isu ummah. Website PEMBINA dan ISMA masyaAllah sentiasa update isu ummah lokaliti juga luarnegara yang wajib kita cakna.
Persoalannya, berapa kali kita menziarah website tersebut?

Masih mahu menatang dulang minta disumbang?
Bukankah segalanya di hujung jari mu wahai pejuang ummah.


Jika baru mahu mula membaca dan tidak suka bahan-bahan berat,
saya cadangkan supaya ikut page ini, https://www.facebook.com/akubukansuparmen

Beliau ahli unit kajian juga, dan beliau tak suka cakap tentang BM.




Selamat pulang wahai Ikhwan....
Selamat pulang....
Keadilan akan terbalas dihadapan Tuhan.







ISMA Membangun Umat Beragenda.
PEMBINA Meneraju Arus Mahasiswa.



Monday, 17 March 2014

KONSERT MAUT: Ibnu Sina sudah lama menegur





Kita sebagai mahasiswa yang sentiasa memerhatikan arus Negara tercinta ini. Kita sebagai golongan intelek harapan kepimpinan masa hadapan. Kita sebagai bakal pengisi proksi-proksi pembuat dasar  Negara. Kita sebagai bakal golongan profesional yang akan membangun dan menaikkan tamadun manusia bercorakkan islam di bumi Malaysia.Kita berasa amat jelek dan malu.

Belum sempat rasanya hilang merah di muka dek kerana tragedi bomoh di KLIA yang tersebar luas di media dunia. Semalam Malaysia dikejutkan pula dengan kematian seramai 6 orang belia di konsert tertutup dekat Stadium Bukit Jalil akibat berlebihan dos dadah dan alkohol. Belum dibuka cerita mengenai perhimpunan pro-LGBT di Pulau Pinang yang akhirnya dibatalkan atas desakan masyarakat umum dan beberapa NGO islam. Juga belum dibuka cerita mengenai tuntutan COMANGO di Geneva bagi penghapusan akta jenayah liwat, akta murtad dan pelbagai lagi tuntutan yang mampu mencairkan pegangan umat islam.


Ujian yang menimpa-nimpa ini akhirnya menarik kita ke satu sudut. Kerosakan yang mahadahsyat ini memerlukan solusi. Umat yang terus merintih meraung mencari perlindungan ini perlu dibantu. Dan hanya di tangan orang-orang beriman, dunia ini akan menghentikan tangisnya. Berhenti menuding jari. Bersama mencari solusi.


Ibnu Sina, tokoh keilmuwan islam kita ini telah lama menegur. Bagi melahirkan masyarakat yang berkualiti perlu didahulukan dengan pembangunan modal insan.
Terdapat 4 strategi dasar membangun modal insan. Pertama, mentadbir diri adalah yang paling patut diutamakan dalam rangka membangun manusia dan masyarakat.
Kerana seseorang yang baik pentadbiran dirinya akan lebih berupaya mentadbir yang lain dengan baik.


“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu: penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak mendurhakai Allah SWT terhadap apa yang diperintahkan-NYA lkepada mereka dan selalu megerjakan apa yang diperintahkan”(al tahrim:6)


Ditujukan kepada diri dan kemudiannya kepada keluarga. Ini bermakna setiap individu perlu memulakan dengan dirinya terlebih dahulu sebelum berusaha mengubah orang lain.



Dasar kedua membangun modal insan adalah dengan mengenal pasti hakikat pengislahan dalam diri manusia. Manusia perlu sedar bahawa dalam dirinya ada dua faktor penting dan berpengaruh. Akal dan nafsu.  Setelah mengetahui hakikat ini, maka sebagai insan yang ingin mengislah dirinya perlulah sentiasa memastikan bahawa akalnya yang memimpin dan diberi tanggungjawab menerajui tugas pengislahan ini. Jangan sekali-kali dibiarkan nafsu mengatasi akal.Imam al Ghazali dalam karyanya, Mishkat al-Anwar, mengatakan bahawa akal itu adalah satu aspek dari cahaya Allah SWT pada manusia.



Dasar seterusnya dalam membina modal insan, menyelidik dan mengenalpasti kesemua fasad dalam diri manusia atau orang yang ingin melakukan pengislahan.
Ibnu Sina menekankan kuantiti “semua” di sini kerana menurut beliau sebarang unsur fasad yang tertinggal akan kembali merebak dan membawa masalah di kemudian hari. Diumpamakan luka yang belum sembuh sepenuhnya, jika dibiarkan tanpa rawatan yang sepatutnya boleh kembali merebak dan serius.

Di sini saya ingin menyatakan penghargaan buat NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang lantang menyuarakan kefasadan tuntutan-tuntutan COMANGO terhadap Malaysia. Walaupun disaman kerana didakwa menyebarkan hasutan kepada umum, tetapi kita amat menyanjungi keberanian mereka dalam menyuarakan nahi mungkar tatkala islam benar-benar dirobek maruahnya dan banyak pihak berautoriti yang hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh. Saman tidak akan memiskinkan pejuang Allah, dan penjara tidak akan mampu menghalang mereka bertemu syahid.



Seterusnya, dasar terakhir bagi membina modal insan adalah dengan memilih kawan yang baik dan ikhlas yang akan membantu menilai diri kita dengan lebih objektif dan membina. Sebagaimana hadith Nabi SAW yang menyatakan bahawa sahabat itu ibarat si penjual minyak wangi juga si tukang besi. Oleh itu, amat jelas bahawa siapa teman rapat kita, ia akan memberi impak yang besar kepada siapa identiti sebenar kita.



Kesungguhan dan keberterusan projek pembinaan manusia amat dititikberatkan kerana usaha membina manusia adalah usaha berterusan dan tiada noktahnya. Hal ini kerana, dua unsur yang sentiasa bertentangan iaitu akal dan nafsu yang sering berusaha menguasai salah satu dengan yang lain.Penguasaan akal ke atas nafsu membuahkan pembinaan insan yang berkualiti manakala sebaliknya penguasaan nafsu ke atas akal akan hanya membawa keruntuhan dan kehancuran kepada sesebuah tamadun manusia. Kesemua fakta-fakta ini dijelaskan oleh Ibnu Sina dalam perbincangan tentang siyasah atau pengurusan diri manusia dalam Kitab al-Siyasah.



Kita sebagai mahasiswa islam yang bakal mengisi proksi-proksi penting Negara dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun lagi, amat berharap agar pembinaan modal insan diutamakan oleh setiap lapisan masyarakat juga pihak berkuasa.  Kerana hanya dari individu yang baik akan menghasilkan masyarakat yang baik, Negara yang dirahmati dan dunia yang lebih aman.


Akhir kalam, mungkin di atas kertas kerja konsert maut, konsert Future Music di Bukit Jalil tersebut hanya tertulis objektif hiburan semata. Tetapi yang tersirat disebalik konsert tersebut adalah pakej seks, arak, dadah, dan  kehancuran belia serta kerosakan tamadun manusia.


Juga mungkin di atas kertas kerja sesebuah ngo seperti Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang menganjurkan himpunan mahasiswa islam setiap tahun. Tertulis hitam putih beberapa objektif namun disebalik himpunan tersebut adalah pembangunan modal insan, pembentukan generasi harapan serta pencetus para pemikir tamadun islam di bumi Malaysia.


Al fatihah buat empat orang belia islam yang maut di konsert tersebut. Moga mereka mendapat keampunan Allah SWT dan semoga para pejuang islam menjadikan cubitan-cubitan tersebut sebagai pendorong gencarnya kerja yang tidak bergaji ini.



ISMA Membangun umat beragenda.
PEMBINA Meneraju arus mahasiswa.